Pas pertahan gesaan terhadap Anwar

Pas pertahan gesaan terhadap Anwar

bersatu
 AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas mempertahankan desakan parti itu supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan jawatan atau mengambil cuti susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan pembantunya, Muhammed Yusoff Rawther.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Muhammad Faiz Fadzil yang merupakan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara cuba mengeliru dan memesongkan pemahaman rakyat.

Kata beliau, pimpinan Pas yang pernah berdepan pendakwaan di mahkamah tidak mempunyai kuasa ke atas mana-mana institusi yang mendakwa dan tidak mempunyai sebarang autoriti untuk menentukan pelantikan jawatan tertinggi seperti ketua hakim serta ketua polis negara.

Oleh itu, tegasnya, tidak timbul isu bahawa pimpinan Pas yang berkenaan perlu bercuti memandangkan tiada konflik kepentingan dalam perjalanan prosiding ke atas mereka.

“Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu-satunya individu dalam negara ini yang diberikan kuasa perlembagaan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan jawatan-jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara.

“Dalam masa yang sama, beliau adalah defendan dalam kes sivil yang masih berjalan, menjadikan kedudukannya mencetus konflik kepentingan yang amat serius,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Faiz menggelar Pas hipokrit kerana mendesak Anwar melepaskan jawatan atau bercuti kerana tidak mengambil pendekatan sama semasa pimpinannya didakwa di mahkamah.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, keenganan Anwar menuruti desakan mereka menimbulkan persoalan yang besar integriti tadbir urus dan ketelusan institusi.

“Anwar bukan sekadar menjalani proses undang-undang biasa. Beliau sedang memegang kuasa untuk mempengaruhi dan membentuk institusi yang sedang dan akan mengendalikan kes melibatkannya. Ini bukan sekadar persepsi, ini realiti konflik kepentingan,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu bukan tentang soal siapa lebih bersih atau siapa lebih kotor, mahupun pertandingan siapa lebih banyak didakwa tetapi tentang prinsip asas dalam sistem demokrasi berperlembagaan.

“Iaitu tidak boleh wujud pengaruh atau kuasa terhadap institusi yang mengadili seseorang. Apabila prinsip ini diabaikan, keadilan akan mati secara perlahan-lahan, walaupun prosidingnya kelihatan sah dari segi undang-undang.

“Perdana Menteri mempunyai pilihan yang mudah jika benar beliau menjunjung prinsip integriti yang sering beliau laungkan. Beliau perlu mengambil cuti atau berundur sementara daripada jawatan sehingga kes ini selesai.

“Itu sahaja langkah yang mampu memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem, memelihara kebebasan badan kehakiman, serta menyelamatkan kewibawaan pentadbiran negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN