PETALING JAYA: Pas didakwa hipokrit kerana mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan jawatan Perdana Menteri susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, Pas sendiri gagal melepaskan jawatan ketika pemimpinnya sendir disiasat dan didakwa.
Menurut beliau, desakan pimpinan Pas terhadap Anwar adalah semata-mata untuk membina persepsi jahat.
“Sedangkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menunjukkan sikap tidak campur tangan Anwar Ibrahim dalam sistem kehakiman.
“Sikap ini melambangkan prinsip integriti yang diperjuangkan Pakatan Harapan (PH) dan agenda reformasi yang digagaskan Anwar dalam menjamin kebebasan badan kehakiman benar-benar dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhammed Yusoff dilepaskan dan dibebaskan tanpa membela diri daripada dua pertuduhan mengedar dadah dan memiliki pistol tiruan, tahun lalu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan terhadap tertuduh yang berusia 32 tahun.
Sehubungan itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyarankan Anwar untuk melepaskan jawatannya atau berehat bagi membolehkan siasatan terbuka dapat dijalankan.
Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, kenyataan pimpinan Pas yang menyatakan bahawa saman boleh dibuat terhadap pihak polis kerana tidak menyiasat Anwar juga tidak berasas.
Katanya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sudah menjelaskan bahawa laporan tersebut telah disiasat di peringkat awal.
“Sungguhpun prinsip undang-undang jenayah menghendaki penyiasatan yang adil dan menyeluruh, namun bagi menyaman pihak polis perlu ditunjukkan wujudnya satu tindakan niat jahat oleh pihak polis.
“Memandangkan tiada apa-apa bukti menunjukkan campur tangan Anwar dalam penyiasatan tersebut, maka di mana berlakunya niat jahat tersebut?” soalnya.
Tambahnya, tindakan Pas cuba mempolitikkan keputusan mahkamah itu sebagai terdesak dan hipokrit.
“Pas sendiri gagal bersikap adil dalam kes melibatkan pemimpinnya sedangkan keadilan itu bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi perlu dilihat dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN