UMNO 79 tahun: Revolusi Zahid pastikan parti kekal relevan

UMNO 79 tahun: Revolusi Ahmad Zahid pastikan parti kekal relevan

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-79 esok menjadikannya parti tertua di Malaysia tetapi masih mampu berdiri megah bersama parti lain yang lebih muda usianya.

Bermula dengan pencantuman pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan berbagai aliran falsafah dan pendapat, akhirnya UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 demi kebersamaan survi­val bangsa Melayu.

Tujuan dan matlamatnya ma­sih sama sehingga hari ini iaitu sentiasa berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa serta negara.

Rentetan perjuangan UMNO melewati rencam yang pelbagai dengan mengusir penjajah, keluar dari arus kemiskinan, pembangunan dan pemodenan sehinggakan puncak kuasa berada di tangan UMNO.

Mudah untuk digambarkan, jasa parti ini terlalu besar untuk dinafikan, bukan hanya melibatkan golongan Melayu dan Bumiputera, tetapi seluruh warga Malaysia keseluruhan.

Dari mempelopori perjua­ngan kemerdekaan, memerdekakan tanah air daripada penjajah, sehinggalah membina struktur pentadbiran dan pembangunan negara, ternyata UMNO sentiasa berada di barisan hadapan.

Pada keadaan itu, UMNO me­lalui Barisan Nasional begitu gah dan tidak perlu bergantung de­ngan dengan mana-mana parti lain sekali pun untuk membentuk Kerajaan, namun sekelip ma­ta sahaja berubah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), UMNO hilang kuasa dan kedudukan, malah ada juga yang meninggalkan parti sewaktu UMNO bergelar pembangkang. Di situlah cabaran sebenar bermula bagi sebuah parti yang berusia 79 tahun ini, sama ada terus hidup atau ‘mati’.

Dalam hal ini, menurut Ve­teran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, cabaran utama yang paling besar adalah bagaimana kepemimpinan hari ini memainkan peranan dan naratif supaya terus kekal relevan.

“Saya berhadapan dengan enam pemimpin tertinggi parti yang juga mereka adalah Perdana Menteri, bermula daripada zaman Tun Abdul Razak Hussein sehinggalah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Setiap daripada mereka yang menja­di Presiden, orang yang sama juga akan memegang jawatan Perdana Menteri. (Datuk Zahid tidak menjadi Perdana Menteri)

“Maka sebab itu, UMNO dilihat lebih mahir dalam mentadbir isu-isu kementerian mahupun parti. Malah, kuasa dan pemerintahan hanya berada di tangan UMNO sahaja tanpa perlu berkongsi dengan yang lain.

“Namun cabaran sebenar terletak pada Ahmad Zahid yang mengambil alih kepemimpinan parti dalam ke­adaan UMNO tiada harga,” katanya.

Bermula daripada kepimpinan Ahmad Zahid, dinamika politik UMNO benar-benar me­nongkah arus serta mencetuskan satu revolusi baharu dalam dunia politik UMNO itu sendiri.

Jika diimbas kembali, dewan keramat Dagangan Dunia Putra (WTC) suatu ketika dahulu digegarkan dengan slogan ‘No Anwar, No DAP’, ia dipasak sedalam-dalamnya terhadap pe­mikiran akar umbi.

Namun, setelah kerjasama erat cuba dijalankan bagi membentuk kerajaan, di situ juga cabaran buat Ahmad Zahid bagi mendapatkan kembali kepercayaan terhadap naratif yang cuba dilakukan demi survival UMNO itu sendiri.

“Mengambil keputusan be­kerjasama dengan seteru UMNO iaitu PKR dan DAP pastinya bukan suatu yang mudah, memang ramai yang menentang. Malah, sehingga hari ini pun bukan ke semua 3.6 juta ahli UMNO pun mampu untuk menerimanya.

“Tetapi Ahmad Zahid sebagai Presiden yang mengambil pesaka UMNO, dalam keadaan tiada harga, namun akhirnya langkah beliau membuka mata semua pihak semula dengan meletakkan parti itu antara parti terpenting dalam Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Tanpa menggadaikan prinsip parti yang meletakkan perjua­ngan Melayu dan Islam sebagai keutamaan, UMNO kini masih bertahan dengan perjuangan yang sama dan dilihat tiada parti lain mampu menandingi UMNO bagi untuk prinsip tersebut.

Malah, UMNO terus memainkan peranan penting dengan meletakkan amaran kepada DAP khususnya agar tidak menyentuh isu-isu yang menggugat ketenteraman perkauman, sekali gus menegaskan parti itu tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya kepada DAP.

“Jika kita tiada kuasa, adakah UMNO mampu mempertahankan Melayu dan Islam daripada diganggu-gugat bangsa lain? Adakah mampu UMNO memberi peringatan kepada parti lain yang Islam adalah agama rasmi di Malaysia?

“Itulah kejayaan UMNO ketika Ahmad Zahid memegang parti dalam keadaan yang benar-benar lemah,” katanya lagi.

Dalam kekuatan UMNO hari ini yang dibawa Ahmad Zahid selaku Presiden parti, beliau tidak boleh keseorangan dalam membawa perjuangan UMNO.

Maka sebab itu, Naib Presi­den UMNO, Datuk Seri Moha­med Khaled Nordin berkata, kesetiaan dan sokongan daripada akar umbi amat penting supaya UMNO dapat berjalan sebagai sebuah pasukan yang mantap, dan kemudiannya mengatur strategi mendepani cabaran untuk menjadi UMNO 2.0 yang kuat sama seperti UMNO yang sebelum tewas pada PRU14.

“Ahli UMNO perlu ada sema­ngat juang yang tinggi, bersetia dan sanggup berkorban, pada masa sama perlu tabah dan cekal menyumbang kepada usaha membawa parti balik kepada kekuatan asal.

“UMNO akan terus kekal sebagai parti orang Melayu Bumiputera tetapi dengan pendekatan sederhana kerana memahami Malaysia sebuah negara majmuk,” ujarnya.

Senada, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ahmad turut berkata, ‘orang parti’ menjadi aspek utama dalam pengukuhan sesebuah parti, sekali gus menjamin kesatuan, malah tiada perpecahan yang akan berlaku jika dalamannya benar-benar kukuh.

“Bila kalah sahaja, lompat parti. Jadilah ‘party man’, ja­ngan biarkan parti dalam keada­an terumbang-ambing bila berlaku masalah. ini penting bagi menggambarkan kekuatan parti dari dalam dan luar,” ujarnya.

Sekali lagi UMNO bakal ber­depan cabaran pada PRU16 ti­dak lama lagi. Jika akar umbi terus mendukung kepemimpinan parti, rakyat pasti akan menilai apa yang telah diusahakan UMNO selama ini.

Meskipun wujud parti politik Melayu lain dalam negara, namun akhirnya, parti tertua di Malaysia ini jugalah akan terus menjadi harapan bangsa Melayu dan umat Islam seluruhnya.

Apatah lagi jika UMNO kembali kepada kekuatan asal, tiada parti lain yang menjadi harapan, UMNO jualah tempat orang Melayu bergantung harap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN