AMPANG: Timbalan Speaker DUN Selangor, Kamri Kamaruddin mengesahkan untuk bertanding merebut salah satu kerusi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025-2028 yang akan berlangsung pada hujung bulan Mei ini.
Beliau berkata penyertaannya untuk bertanding bagi jawatan tersebut adalah langkah tepat untuk terus berjuang dalam parti serta membuka ruang melakukan khidmat kepada seluruh ahli parti dan masyarakat.
Beliau yang sudah menghantar borang pencalonan secara atas talian pada 8 Mei lalu berharap akan terus diberikan peranan berada bersama kepimpinan dalam usaha menguatkan struktur parti terutamanya persediaan menghadapi pilihanraya ke-16 akan datang.
“Menawarkan diri untuk bertanding jawatan bukanlah semata-mata untuk mengejar populariti atau ruang kuasa tetapi adalah satu amanah dan tanggungjawab yang perlu digalas dalam meneruskan misi perjuangan dan kesinambungan parti,”
“Sebagai ahli parti yang mempunyai jawatan dalam kerajaan, saya sentiasa memegang prinsip untuk terus memberi khidmat dan bakti kepada masyarakat agar parti ini kekal relevan dan dikenang sebagai wadah perjuangan membela anak bangsa dan generasi akan datang,” ujarnya.
Beliau yang juga ADUN Bukit Antarabangsa menegaskan parti memerlukan kepimpinan dan struktur yang kuat di akar umbi untuk memastikan berada di landasan tepat supaya terus disegani dan dipercayai terutamanya untuk meraih sokongan generasi baharu akan datang.
“Saya hadir menawarkan diri bukan untuk meraih gelaran atau jawatan, tetapi ingin bersama-sama memperkasakan parti supaya dapat bergerak dengan lebih maju ke hadapan di saat kita menghadapi pelbagai cabaran getir mutakhir ini,”
“PKR diasaskan dengan keringat, perjuangan dan air mata. Ia adalah sebuah parti yang membela serta memperjuangkan keadilan kepada rakyat. Kita bermula daripada bawah sehinggalah berjaya membentuk kerajaan, maka adalah penting untuk terus mengekalkan roh serta nilai perjuangan yang telah tersemat sekian lama,” ujarnya.