SHAH ALAM: Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) berupaya menjadi parti masa depan kaum India di negara ini yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu yang membelenggu komuniti kaum ketiga terbesar itu kini melibatkan ketiadaan pemimpin yang benar-benar mewakili mereka.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau pernah bertanya perkara itu kepada komuniti India mengenai siapa pemimpin yang mewakili mereka ketika ini.
“Namun, tiada yang dapat menjawab soalan itu. Adakah individu itu sudah menghilangkan diri atau masih lagi ada?
“Justeru, kita (PN) mendukung 110 peratus kepada MIPP yang diharap mampu menjadi parti terbaik bagi masa depan kaum India di Malaysia,” katanya ketika berucap pada Festival Perpaduan Masyarakat India anjuran MIPP di sini, hari ini.
Pada program itu, MIPP turut melancarkan inisiatif Reset 2027 yang memfokuskan usaha menyantuni komuniti India di seluruh negara.
Tambah Muhyiddin, rakyat kini keliru mengenai hala tuju negara yang masih samar kerana pelbagai isu tidak diselesaikan.
“Ia antaranya berkaitan masalah ekonomi dan kos sara hidup. Kita perlu membuat sesuatu dan bukan hanya duduk tengok apa mereka buat.
“Kita mahu pemimpin yang boleh membawa rakyat untuk bersatu dan perlu mengukuhkan perpaduan kuat antara semua kaum. Negara tiada hala tuju yang jelas,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden MIPP yang juga Timbalan Pengerusi PN, S. P. Punithan berkata, menerusi Reset 2027, pihaknya akan menyantuni kaum India di 80 lokasi yang dikenal pasti.
“Kita mahu menyelami sendiri isu yang dihadapi rakyat terutama melibatkan pendidikan, sosial dan ekonomi mereka. Itu merupakan inisiatif utama parti dan mungkin akan dijadikan sebagai intipati manifesto bagi PN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya. – UTUSAN