SHAH ALAM: Calon dan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa menjaga adab dan tidak memburuk-burukkan saingan sepanjang proses pemilihan bagi sesi pimpinan 2025-2028 pada 24 Mei ini.
Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, keseluruhan anggota dan pimpinan sama ada yang menang atau kalah diperlukan untuk mengumpulkan semula kekuatan parti terutama bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Sentiasa menjaga adab dalam kita memasuki proses pemilihan. Janganlah ada satu keadaan yang mana kita memburuk-burukkan lawan kita, menghina, merendah-rendahkan mereka, mengatakan ‘saya tak pernah menjaga trafik’ dan sebagainya, tak perlulah.
“Sebagai sebuah parti yang lahir dari jalanan, PKR sebagai parti yang direbus tak masak, dibakar tak hangus. Lagi ditekan lagi melawan, lagi disuruh lagi merusuh. Itulah semangat kita,” katanya ketika berucap pada program Temu Rapat Akar Umbi bersama Nurul Izzah Anwar malam tadi.
Selain itu, beliau yang juga Menteri Komunikasi sekali lagi menyelar mana-mana pihak yang menyifatkan pencalonan Nurul Izzah sebagai nepotisme berikutan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu pernah bertanding bagi jawatan Naib Presiden dalam penggal sebelum ini.
“Untuk sesiapa yang membawa hujah nepotisme, Nurul Izzah pertama kali bertanding Naib Presiden dan menang. Beliau berani menyatakan pendirian yang berbeza daripada Anwar Ibrahim, malah pimpinan-pimpinan lain.
“Kita kena ingat Nurul Izzah selama ini dipilih oleh anggota untuk menggalas jawatan Naib Presiden kecuali pada penggal lalu. Itu yang saya hairan, dalam banyak-banyak masa, waktu paling cocok untuk mengatakan nepotisme adalah pada 2022 hingga 2025 yang mana beliau tidak bertanding tetapi dilantik menjadi Naib Presiden,” jelasnya. – UTUSAN