PETALING JAYA: Pemansuhan pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pelaksanaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 antara isu hangat yang sering dijadikan ‘modal politik’, terutamanya menjelang pilihan raya.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, meskipun impian rakyat untuk mendapatkan pendidikan percuma adalah satu aspirasi murni, namun pelaksanaannya menuntut komitmen yang jauh lebih besar daripada sekadar iltizam politik.
“Pendidikan percuma cita-cita semua dan menjadi cita-cita kerajaan juga memberi pendidikan percuma kepada rakyat. Namun, cita-cita ini susah. Ia bukan hanya boleh dilaksana dengan iltizam politik semata-mata, sebaliknya, keupayaan kerajaan melakukannya.
“Ini bukan lagi konteks sama macam 12 tahun lalu. Konteksnya sudah berbeza dan kerajaan perlu buat penambahbaikan melalui pemulihan ekonomi. Saya masih berpendirian sama (pemansuhan PTPTN). Tetapi tidak semestinya saya perlu jadikannya modal politik. Hakikatnya, kita ada masalah pembiayaan pendidikan untuk anak-anak muda mahu belajar.
“Saya anggap ini satu tanggungjawab kita sebagai kerajaan untuk bagi solusi. Bukan hanya kita mahu jadikan sebagai modal politik. Senang kalau saya jadikan modal politik balik. Tetapi, selagi mana kita belum ada penyesuaian tuntas, kita tidak akan puas hati,” katanya semasa program temu bual audio siar Media Mulia baru-baru ini.
Adam Adli yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengakui terdapat kekangan besar dalam merealisasikan pendidikan percuma buat rakyat ketika ini, namun menegaskan usaha ke arah itu tidak pernah terhenti.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, ini antara watak utama dalam siri protes menuntut pendidikan percuma sewaktu bergelar aktivis sosial dan pendidikan, namun sejak berada dalam kerajaan, ada pihak mendakwa beliau ‘senyap’ dalam memperjuangkan isu sama selepas timbul isu janji manifesto Pakatan Harapan (PH) belum ditunaikan dahulu.
Pada 1 Mei lalu, kumpulan mahasiswa seperti Liga Mahasiswa Malaysia menyuarakan tuntutan agar PTPTN dimansuhkan dalam Himpunan Aman Hari Pekerja 2025, mencerminkan desakan akar umbi terhadap isu berkenaan yang masih belum selesai.
Pada Oktober tahun lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud sebelum ini menyatakan bahawa pemansuhan PTPTN sukar dilaksanakan berikutan komitmen kewangan kerajaan yang tinggi serta keperluan untuk menghormati peminjam yang telah melunaskan hutang mereka.
Walaupun berdepan realiti mencabar, Adam Adli mengulangi komitmen kerajaan untuk terus mencari solusi jangka panjang demi masa depan pendidikan negara yang lebih adil dan inklusif.
“Pendidikan adalah hak asasi manusia, namun, kedudukannya sebagai ahli Jemaah Menteri mengekangnya daripada bersuara lebih lantang.
“Pendidikan ini sepatutnya dilihat sebagai hak asasi manusia. Cuma, sebagai wakil kerajaan, saya tidak boleh keras sangat,” katanya. – UTUSAN











