SHAH ALAM: Bantahan terhadap Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB) bukan cubaan terdesak atau bermotifkan politik, namun sebaliknya jelas bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang negara ini.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, pihaknya kekal beranggapan bahawa akta itu bercanggah dengan Akta Pengambilan Tanah, bukannya kerana faktor emosi, cubaan terdesak atau politik.
“Kami menentang kerana berlandaskan undang-undang. Kita tidak boleh mengambil harta orang sewenang-wenangnya.
“Apa yang terdesak? Kami juga akan tetap meneruskan himpunan bagi membantah Akta PSB itu nanti,” katanya ketika ditemui pada Festival Perpaduan Masyarakat India anjuran Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) di sini, hari ini.
Terdahulu, Angkatan Muda Harapan (AMH) dilapor menyifatkan rancangan Pemuda Pas menggerakkan perhimpunan bagi membantah Akta PSB pada 14 Jun depan sebagai cubaan terdesak bagi mengalihkan perhatian daripada krisis dalaman Perikatan Nasional (PN).
Ketuanya, Woo Kah Leong memaklumkan himpunan itu juga dikatakan bagi menutup kekalahan dihadapi PN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning lalu.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebelum ini membertahu, pihaknya akan meneruskan perhimpunan aman bagi membantah akta itu di sekitar Lembah Klang.
Dalam perkara berasingan, kata Takiyuddin yang juga Ketua Whip PN, setakat ini pihaknya belum dipanggil oleh jawatankuasa bagi membincangkan isu berkaitan peruntukan pembangkang daripada kerajaan.
“Kami amat bersetuju dengan cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mahu menubuhkan jawatankuasa itu sebelum ini. Namun, kami masih menunggu untuk dipanggil bagi membincangkannya,” ujarnya.
Pada hujung Februari lalu, kerajaan bersetuju dengan cadangan menubuhkan satu jawatankuasa bagi meneliti sebarang cadangan daripada pembangkang dan sekali gus menyelesaikan isu peruntukan pembangkang secara konsesus.
Perkara itu dibangkitkan Takiyuddin selepas mendakwa tiada ruang perbincangan diberikan kepada pihak pembangkang. – UTUSAN