Penternak babi diarah patuh syarat secara berperingkat

Penternak babi diarah patuh syarat secara berperingkat

Ternakan babi
IZHAM Hashim ditemui pada sidang akhbar berhubung isu ternakan babi, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kebenaran ternakan babi akan diberikan kepada pemilik 112 ladang di Tanjung Sepat, Kuala Langat dengan pematuhan terhadap syarat secara berperingkat dalam tempoh setahun selepas lesen diluluskan.

Syarat-syarat yang perlu dipatuhi itu merangkumi pelaksanaan ladang secara tertutup, menguruskan sisa melalui kaedah dasar sisa sifar (ZDP) dan mewujudkan zon penampan (buffer zone).

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim berkata, lesen ternakan mereka sebelum ini tidak diperbaharui sejak Jun tahun lalu selepas dikenal pasti gagal mematuhi syarat ditetapkan serta isu penularan wabak selsema babi Afrika (AFS).

Katanya, bagaimanapun kerajaan negeri bersedia memberi pertimbangan kepada kesemua pemilik ladang untuk mematuhi secara berperingkat dan menguruskan isu teknikal terhadap permohonan lesen dalam tempoh sebulan.

“Terdapat 115 ladang, satu dibina secara haram di Ladang Tumbuk, Tanjung Sepat, di luar kawasan pula iaitu tiga di Sungai Belankan. Kebenaran hanya akan diberikan kepada Tanjung Sepat, tiga yang diluar diarah untuk dipindahkan di Ladang Tumbuk.

“Kemudian, dalam tempoh setahun mereka kena sediakan zon penampan dan pengurusan sisa iaitu memastikan efluen terhasil daripada ternakan tidak terlepas ke anak sungai atau parit, airnya ditapis semula untuk kegunaan di dalam ladang,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Jelas Izham, bagaimanapun tiada ladang baharu akan diberikan kebenaran dan penetapan tersebut adalah bertujuan untuk menjaga keharmonian antara penternak dan juga penduduk.

Februari tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan Selangor menyita tiga ladang babi termasuk dua kawasan yang diklasifikasikan sebagai zon merah iaitu Sungai Belankan dan Kampung Ladang Tumbuk selepas ternakannya disahkan positif wabak ASF.

Malah, akhbar ini pada 2022 mendedahkan penderitaan kira-kira 7,000 penduduk di Tanjung Sepat yang berdepan masalah pencemaran dipercayai kumbahan ternakan babi di kawasan itu sejak 30 tahun lalu.

Selain itu, Izham memaklumkan, kerajaan negeri sedang melaksanakan perancangan untuk membina ladang ternakan babi moden seluas kira-kira 202 hektar di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

“Dalam tempoh tiga tahun, penternak sedia ada diarahkan untuk berpindah di sana dan kawasan tersebut akan diwartakan sebagai kawasan ternakan babi.

”Ia terhad kepada 50 peratus kadar sara diri (SSR). Ia sebagai salah satu sumber makanan bagi komuniti bukan Islam,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN