PRK Ayer Kuning: Kelebihan kepada BN, cabaran tambah majoriti

PRK Ayer Kuning: Kelebihan kepada BN, cabaran tambah majoriti

Pas tidak boleh menganggap kawasan majoriti Melayu bakal memberi kelebihan kepada mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Barisan Nasional (BN) dijangka mengekalkan kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, namun cabaran sebenar parti itu kini adalah untuk meraih majoriti yang jauh lebih besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Usaha menambah undi penting bu­kan hanya untuk mengukuhkan ke­­du­dukan tetapi juga sebagai kayu ukur penerimaan akar umbi, terutama­nya pengundi Melayu luar bandar terhadap kerjasama politik antara UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham Ishsam Shahruddin menang dengan majoriti 2,213 undi, memperoleh 9,088 undi mengatasi calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Ketika bertanding menentang empat calon lain terutama dari PH dan PN pada PRU15, Ishsam mampu meraih majoriti 2,213 undi, dan pada PRK kali ini sementelah dengan gabungan bersama PH, calon BN ini dikatakan tidak mempunyai masalah untuk meraih kemenangan. Cuma, sejauh mana kemenangan dengan majoriti lebih besar yang bakal diraih BN nanti.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyasarkan sekurang-kurangnya 18,000 undi atas kekuatan gabungan BN dan PH, berdasarkan jumlah undi PRU15 serta tambahan undi daripada pengundi atas pagar dan penyokong PN.

Namun, sasaran itu dikatakan terlalu optimistik memandangkan kadar keluar mengundi PRK lazimnya lebih rendah daripada PRU. Lebih merumitkan, isu kerjasama UMNO-DAP atau ‘UMDAP’ terus dimainkan pembangkang, menjadi senjata utama Perikatan Nasional (PN) untuk menjejaskan sokongan terhadap BN.

Slogan ‘UMDAP’ bukan sahaja menyentuh sensitiviti pengundi Melayu veteran tetapi juga golongan muda. Isu ini hangat diperkatakan selepas video tular Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang melaungkan “UmDAP Mantap!” ketika berkempen, sekalipun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa tiada istilah sedemikian secara rasmi.

Pemimpin UMNO kini disaran tidak cuba ‘menyucikan’ isu ini, tetapi sebaliknya terus memberikan penjelasan konkrit tentang keperluan kerjasama politik tersebut bagi memastikan rakyat, khususnya orang Melayu, benar-benar faham.

DUN Ayer Kuning mempunyai 31,897 pemilih, dengan majoriti pengundi Melayu (56.80%), Cina (21.12%) dan India (14.43%). Ayer Kuning juga menjadi penentu sejauh mana PH dapat menggerakkan pengundi bukan Melayu untuk menyokong calon BN.

Di lapangan, pemimpin DAP, PKR dan Amanah dilihat giat membantu kempen BN, namun cabaran utama mereka ialah menggerakkan sokongan pengundi Cina untuk keluar mengundi pada hari pengundian Sabtu ini.

PN pula membangkitkan isu ladang ternakan babi di Kampung Tanjung Keramat, namun isu itu segera dijawab oleh Exco Kerajaan Negeri, A. Sivanesan yang menafikan dakwaan tersebut, menjadikan impaknya terhadap BN agak terhad.

Walaupun PN dilihat sukar untuk menang di kubu kuat BN ini, mereka masih menyasarkan peningkatan undi sebanyak 20 hingga 30 peratus bagi membuktikan penolakan terhadap kerjasama UMDAP. Namun, tanpa isu nasional besar seperti di PRK Sungai Bakap, laluan mereka kali ini lebih mencabar. – UTUSAN

* Analisis ini berdasarkan pemantauan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN