BUKIT MERTAJAM: Pemilihan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani membuktikan bahawa UMNO tidak ketandusan pemimpin muda yang berkaliber untuk diketengahkan sebagai calon ketika menghadapi sebarang pilihan raya.
Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd. Hilmi Elias berkata, selain aktif dalam politik, Mohd. Azmawi juga bergerak aktif dalam pertubuhan belia apabila dipilih sebagai Pengerusi Majlis Belia Daerah Gua Musang dan Naib Presiden Belia 4B Malaysia.
“Pemilihan Azmawi ini pastinya akan menjadi kayu ukur penerimaan pengundi terutamanya di Kelantan (terhadap pemimpin muda UMNO).
“Ia sama ada mereka (pengundi) masih terikat dengan sentimen kepartian atau melihat satu figura muda yang berkebolehan ditampilkan sebagai wakil rakyat pilihan mereka.
“Semestinya sebagai rakan seperjuangan, saya selaku Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, akan mengerahkan pemuda-pemuda UMNO Pulau Pinang untuk sama-sama membantu saudara Azmawi di Nenggiri nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Mohd. Azmawi Fikri sebelum itu diumumkan sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri oleh Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Jazlan Yaakub, kelmarin.
Pemilihan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang juga merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang disifatkan sebagai tepat apabila beliau cukup dikenali dalam kalangan penduduk Nenggiri di sana.
Dalam pada itu, Mohd. Hilmi memberitahu, Pemuda UMNO Pulau Pinang sedang mengenal pasti Pusat Daerah Mengundi (PDM) mana yang bersesuaian serta lokaliti yang berkesan di Nenggiri sebelum menggerakkan jentera parti ke sana untuk membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) itu.
“Insya-Allah, kami yakin dengan karisma dan kebolehan yang ada pada saudara Azmawi, beliau akan ditabalkan sebagai wakil rakyat DUN Nenggiri pada 17 hari bulan Ogos nanti,” ujar beliau. – UTUSAN










