MELAKA: Menjadi tanggungjawab anak muda serta golongan belia untuk menolak perkauman sempit dan fahaman agama yang jumud kerana naratif sedemikian hanya akan melemahkan negara, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Belia Negeri (HBN) 2024, Perdana Menteri berkata, anak muda harus dikenali kerana idealisme yang dibawa terutama dalam pembasmian penyelewengan dan rasuah.
Katanya, penilaian terhadap dasar-dasar kerajaan juga perlu dinilai berdasarkan ilmu dengan memberi contoh pelaksanaan penyasaran subsidi diesel seperti diumumkan beliau, baru-baru ini.
“Anak muda itu dikenali bukan suaranya, tetapi kerana cita-cita murninya kerana idealismenya, kerana benci kepada penyelewengan rasuah dan keangkuhan. Cinta kepada kebenaran dan kebaikan, maka kita mesti menolak faham-faham perkauman sempit, faham-faham agama yang jumud yang melemahkan kita.
“Tetapi mengangkat martabat agama daripada segi akidah yang baik dan akhlak yang baik. Ini tanggungjawab anak muda. Dalam apa-apa keputusan yang kita lakukan, kita nilai berdasarkan ilmu.
“Kerajaan baru-baru ini umpamanya umumkan penyasaran subsidi diesel, anak-anak muda harus tahu kerana kita terlibat secara langsung. Anak-anak muda terlibat dalam kegiatan perniagaan yang menggunakan diesel kita kecualikan daripada bayaran itu,” katanya di Dataran Pahlawan, Banda Hilir di sini, hari ini.
Kerajaan memperuntukkan RM5 juta untuk pelaksanaan HBN tahun ini yang meliputi pelaksanaan sebanyak 3,107 aktiviti dengan penyertaan seramai 2.5 juta peserta di seluruh negara.
Antara aktiviti dijalankan adalah seperti Bacaan Ikrar Belia Malaysia pada 15 Mei lalu, Semarak HBN, Konvensyen Belia Integriti Nasional, khutbah jumaat semua negeri serta sambutan HBN di negeri-negeri dan kebangsaan.
Ia bagi memastikan golongan belia mendapat akses kepada maklumat dan program pembangunan di peringkat akar umbi. – UTUSAN











