Tiada peruntukan kepada dua ADUN pembangkang Melaka

Tiada peruntukan kepada dua ADUN pembangkang Melaka

AB. RAUF Yusoh bersalaman dengan orang ramai ketika Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DUN Merlimau di Dataran Orang Kampung, Jasin, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Kerajaan negeri tidak akan mengikut jejak langkah kerajaan Persekutuan yang secara dasarnya telah bersetuju mempertimbang untuk menyalurkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, setakat ini kerajaan negeri tidak membincangkan mengenai peruntukan atau bantuan kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan Bemban.

“Melaka memang hendak bagi pembangkang tetapi malangnya kita tidak dapat apa-apa indikator dalam bentuk mana kita hendak beri.

“Dalam suasana politik di Melaka sekarang biarlah macam ini. Kalau kerajaan Pusat hendak laksanakan (salur peruntukan), itu hal kerajaan Pusat, di negeri adalah hal negeri.

“Setakat ini kita tidak ada berbincang langsung mengenai untuk memberi peruntukan kepada pembangkang. Kita tidak ada keputusan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DUN Merlimau di Dataran Orang Kampung di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, ADUN pembangkang di Melaka juga perlu diberikan peruntukan sama seperti apa yang diputuskan kerajaan Persekutuan berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Ketua Pembangkang DUN Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, ia kerana di negeri ini hanya terdapat dua ADUN pembangkang sahaja, justeru faktor kemampuan bukanlah penghalang kepada kerajaan negeri untuk merealisasikannya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan secara dasar bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Tambah Ab. Rauf, kerajaan negeri lebih tertumpu menyalurkan peruntukan kepada 26 ADUN di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Jelasnya, peruntukan turut disalurkan kepada tiga Penyelaras DUN iaitu Sungai Udang, Bemban dan Rembia untuk membantu masyarakat di kawasan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN