Mohamad Ali, Rospandi, Hasan tegaskan masih ahli UMNO

Mohamad Ali, Rospandi, Hasan tegaskan masih ahli UMNO

MOHAMAD ALI Mohamad (dari kiri), Rospandi Leman dan Hasan Rahman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ketiga-tiga bekas Ketua UMNO Bahagian di negeri ini yang dikatakan bakal menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan khabar angin berkenaan.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, setakat dihubungi Utusan Malaysia, beliau masih merupakan ahli UMNO.

Senada dengan penjelasan diberikan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub, gambar mereka bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin diambil ketika ziarah Hari Raya Aidilfitri di rumah bekas Perdana Menteri itu, baru-baru ini.

“Kita jalan raya sahaja, tidak ada perancangan ke arah itu (sertai Bersatu). Setakat hari ini (semalam) saya menafikan spekulasi itu,” katanya ringkas.

Spekulasi itu kedengaran sejak kelmarin susulan sekeping gambar dikongsikan Mohd. Yadzil bersama Muhyiddin dan tiga pemimpin UMNO berkenaan.

Dalam pada itu, bekas Pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman berkata, tidak terlintas untuknya menyertai parti lain walaupun tewas pada pemilihan parti tahun lalu.

Menurutnya, kehadirannya di situ adalah selepas menerima jemputan rumah terbuka daripada Muhyiddin.

“Saya kekal dengan UMNO sejak dulu, kini dan selamanya. Jangan ingat bila foto saya bersama Muhyiddin tular di Facebook bermakna saya sudah menyertai Bersatu. Salah ke saya pergi Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pengerusi Perikatan Nasional (PN)?,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman turut menafikan dakwaan akan menyertai Bersatu.

Beliau berkata, beliau tidak kecewa selepas tewas dalam Pemilihan UMNO 2023, sebaliknya akan meneruskan perjuangan menerusi Pertubuhan Alumni 4B Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN