MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Melaka juga perlu diberikan peruntukan sama seperti apa yang diputuskan kerajaan Persekutuan berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, ia kerana di negeri ini hanya terdapat dua ADUN pembangkang sahaja, justeru faktor kemampuan bukanlah penghalang kepada kerajaan negeri untuk merealisasikannya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga pastinya berkemampuan berikutan sebelum ini telah berbelanja besar bagi menyediakan kos tambahan untuk membeli kereta rasmi bagi semua timbalan Exco.
“Saya amat berharap perkara yang sama juga dilaksanakan kepada semua ADUN pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) di setiap negeri. Peruntukan patut diberikan untuk memudahkan mereka menjalankan tugas yang telah diamanahkan.
“Di Melaka hanya dua orang ADUN pembangkang tetapi tidak diberikan peruntukan seperti mana yang diterima oleh ADUN kerajaan.
“Saya yakin bukan faktor kemampuan yang menjadi penghalang kerana kerajaan negeri sendiri sanggup berbelanja besar menyediakan kos tambahan untuk membeli kereta rasmi untuk semua jawatan timbalan Exco,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan secara dasar bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Katanya, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dihadiri pemimpin tertinggi parti komponen Kerajaan Perpaduan di Seri Perdana, Putrajaya.
Tambah Mohd. Yadzil yang juga ADUN Bemban, peruntukan wakil rakyat pembangkang diharapkan tidak lagi menjadi satu perkara pilihan oleh kerajaan.
“Tidak sepatutnya ada rundingan sebelum kerajaan menyalurkan peruntukan. Ini adalah hak semua wakil rakyat. Wakil rakyat bukan pengemis. Mereka adalah calon yang telah dipilih rakyat untuk mewakili suara rakyat di kawasan masing-masing.
“Peruntukan yang disediakan adalah juga duit rakyat yang harusnya dikembalikan kepada rakyat,” ujarnya. – UTUSAN










