MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yakin kerajaan perpaduan yang dibentuk di negeri ini dapat dipertahankan menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Beliau berkata, semua wakil rakyat perlu bekerjasama dan memulakan aktiviti turun padang bagi meyakinkan rakyat, memandangkan PRN semakin hampir.
Ujarnya, dalam tempoh setahun pentadbiran diterajuinya, Kerajaan Perpaduan Melaka lebih teratur berbanding beberapa negeri lain dan sewajarnya menjadi contoh.
“Saya harap nilai-nilai ini perlu diperkukuhkan kerana perpaduan yang dibentuk bukan sahaja membawa manfaat kepada rakyat tetapi boleh menjadi rujukan kepada negeri lain kerana ditadbir, telah diterajui dengan lebih baik.
“Saya berasa sangat terharu dengan kebersamaan yang dibentuk selama ini. Menjelang setahun pemerintahan, saya berjaya mengolah Melaka walaupun sudah pasti ada kekurangannya.
“Saya memerlukan bantuan daripada semua wakil rakyat kerajaan perpaduan di negeri ini untuk bersama-sama memberikan tambah nilai yang lebih baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Moreh Bersama Pemimpin Kerajaan Perpaduan Melaka di Seri Bendahara di sini.
Tambah Ab. Rauf, walaupun terdapat beberapa isu dibangkitkan yang menimbulkan pandangan berbeza, namun sikap hormat-menghormati perlu menjadi benteng kerajaan negeri yang telah dibina selama setahun.
Ujarnya, kelantangan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh sebenarnya membawa suara orang Melayu dan Islam berhubung isu kalimah Allah yang diletakkan pada stoking, bukan berbaur politik.
“Saya tidak marah apa yang Akmal cakap kerana dia adalah pemimpin di peringkat nasional, kita seharusnya menghormati rakan-rakan dalam sebuah kerajaan ini,” ujarnya. – UTUSAN










