MELAKA: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Melaka meminta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh memberikan lebih perhatian kepada portfolio yang berada di bawah tanggungjawabnya, bukannya sibuk memperkatakan hal tidak berkaitan.
Ini susulan tindakan Muhamad Akmal menyentuh isu sekolah vernakular ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka baru-baru ini dan mencadangkan sekolah satu aliran bagi memperkukuh perpaduan rakyat di negara ini.
Ketua DAPSY Melaka, Cassel Craig Krishnan berkata, peralihan kecenderungan dalam kalangan ibu bapa dengan menghantar anak-anak ke sekolah vernakular menimbulkan persoalan, adakah kualiti pendidikan di sekolah kebangsaan (SK) tidak dapat meyakinkan mereka.
Katanya, pihaknya yakin bahawa perpaduan boleh dipupuk tanpa perlu menyentuh kewujudan sekolah vernakular kerana ia dapat diperkukuh melalui cara lain seperti pemerkasaan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dan sukan antara sekolah.
“Kami tidak pasti sama ada pandangan Muhamad Akmal mewakili pandangan kerajaan negeri memandangkan beliau ialah salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), tetapi adalah lebih baik sekiranya beliau memberikan perhatian kepada portfolio yang berada di bawah tanggungjawab beliau daripada sibuk memperkatakan hal yang tidak berkaitan langsung dengan perkara seperti pertanian, kemajuan desa mahupun keterjaminan makanan.
“Perpaduan bukanlah isu pendidikan, ia adalah isu kemasyarakatan. National unity is not a scholastic problem, it is a societal problem. Pendidikan sebenarnya bermula dari rumah, sebelum anak masuk sekolah sebagai pelajar. Tidak kira pelajar akan masuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), SK, sekolah sukan, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah agama, sekolah asrama atau sekolah antarabangsa.
“Yang penting anak-anak kita paham kepentingan membina perpaduan dan cinta akan negara. Oleh itu, usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak sekolah haruslah mendapat galakan daripada ibu bapa bermula dari rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Pemuda UMNO akan mengusulkan cadangan mewujudkan sekolah satu aliran kepada Kerajaan Perpaduan bagi menjamin keharmonian kaum di negara ini.
Muhamad Akmal berkata, ini kerana rakyat Malaysia telah dibezakan sejak kecil oleh sekolah yang mewakili kaum tertentu seperti SJKC dan SJKT. – UTUSAN










