MELAKA: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mempertahankan tindakan dan kelantangan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berhubung gesaan memboikot rangkaian kedai serbaneka milik KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. (KK Super Mart) yang terpalit isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.
Ketua Menteri Melaka itu berkata, kelantangan Muhamad Akmal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri adalah mewakili perasaan umat Islam negara ini yang terguris dengan perkara itu.
Tegasnya, hal sedemikian sepatutnya tidak berlaku memandangkan rakyat pelbagai kaum di negara ini telahpun bersepakat dalam kontrak sosial menghormati hak agama masing-masing.
“Jadi kelantangan Dr. Akmal ini mewakili orang Melayu menyuarakan suara hati orang-orang Islam yang terguris dalam ketidaktertiban syarikat yang mencetak dan syarikat yang menjual.
“Seharusnya perkara ini tidak berlaku di negara kita kerana kita telahpun bersepakat dalam kontrak sosial menghormati hak agama masing-masing.
“Jadi kesedaran ini harus dipertingkatkan supaya tidak berulang lagi kerana sensitiviti orang Islam apabila seolah-olah kalimah Allah ini tidak diletakkan di tempat yang betul, maka kita memang rasa tersinggung, terguris hati umat Islam bukan sahaja Melaka tetapi Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Masjid Al Alami MITC, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Terdahulu, DAP dilaporkan menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan gesaan Muhamad Akmal untuk memboikot kedai serbaneka yang terpalit dengan isu berkenaan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pendirian itu telah disampaikan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ab. Rauf.
Tambah Ab. Rauf, kerjasama dalam politik tidak mengubah pendirian UMNO tentang hal-hal berkaitan agama.
“Soal politik tidak mengubah pendirian kita tentang agama. Kita boleh bersama dalam politik, kita boleh bersama dalam membina sebuah negara yang baik.
“Tetapi soal agama ini sangat sensitif yang harus dilihat oleh semua pihak supaya sentuhan yang mengguris orang Melayu ini tidak berlaku lagi selepas ini,” jelasnya. – UTUSAN










