Mohd. Yadzil nafi keluar Bersatu, PN

Mohd. Yadzil nafi keluar Bersatu, PN

MOHD. YADZIL YAAKUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub menafikan khabar angin bahawa beliau bersama ADUN Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof telah keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ini susulan satu klip video yang dimuat naik dalam platform TikTok mendakwa, kedua-dua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu bersama beberapa kepimpinan lain di Melaka sudah menyertai UMNO.

Mohd. Yadzil berkata, tiada sebab untuknya meninggalkan Bersatu dan PN yang terbukti komited membawa agenda rakyat, meskipun mengakui agak sukar bergelar ADUN pembangkang di negeri yang dikuasai gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Tak habis-habis buat fitnah, tak habis-habis berpolitik. Untuk apa nak keluar dari satu parti yang sangat komited membawa agenda rakyat, satu parti yang sangat prihatin kepada rakyat?

“Apa yang boleh saya yakinkan, saya kekal bersama PN, kekal membawa agenda untuk memperjuangkan nasib rakyat. Itu fakta bukan auta dan ini bukan fitnah. Saya masih bersama PN terus istiqamah bersama PN untuk memperjuangkan nasib rakyat.

“Memang tidak mudah, saya faham hanya berdua sebagai pembangkang di Melaka satu cabaran bagi kami. Tapi kami yakin Allah bersama kami,” katanya yang juga Pengerusi PN Melaka.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi kini dikuasai gabungan BN-PH selepas Ketua Menteri Melaka Ke-13, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengangkat sumpah pada 31 Mac lalu menggantikan ADUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang meletak jawatan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung 20 November 2021, BN memenangi 21 kerusi DUN diikuti PH dengan lima kerusi dan PN, dua kerusi.

Ab. Rauf sebelum ini pernah mempelawa Mohd. Yadzil dan Mohd. Aleef menyertai kerajaan negeri perpaduan Melaka sebelum Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan pada Sidang DUN, Julai lalu.

Katanya, jika kedua-dua mereka bersetuju menyertai, Melaka bakal mencatat sejarah tersendiri menjadi negeri sifar pembangkang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN