Tiada unsur sogokan, Masjid Tanah kekal milik Perikatan Nasional

Tiada unsur sogokan, Masjid Tanah kekal milik Perikatan Nasional

MAS ERMIEYATI Samsudin bersama barisan peguamnya di Kompleks Mahkamah, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Mahkamah Pilihan Raya di sini, hari ini membatalkan petisyen pilihan raya dikemukakan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid untuk mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Susulan itu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas pihak pempestiyen gagal membuktikan wujudnya unsur rasuah pada PRU15.

Beliau berkata, pempetisyen bergantung kepada sogokan wang oleh Pengerusi Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Akmal Zahin Zainal Zahir, namun gagal membawa individu itu hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan.

“Kegagalan itu meninggalkan kelompongan kepada kes pempetisyen. Begitu juga pemberian wang sogokan oleh Noorashimah Nordin (bekas setiausaha sulit responden) gagal dibuktikan dan saksi pendakwaan ke-12 tidak dapat mengesahkan perbuatan tersebut.

“Selain itu, walaupun Akmal Zahin memegang jawatan dalam Bersatu, ia bukan automatik ujian kepentingan bersama dipenuhi. Mahkamah berpendapat responden tidak mempunyai pengetahuan atau memberi kebenaran kepada Akmal Zahin untuk hadir di premis dan memberi wang sogokan.

“Tiada keterangan Akmal Zahin terlibat secara aktif atau terang-terangan berkempen di Masjid Tanah termasuklah Noorashimah. Responden hanya mengetahui kehadiran Noorashimah pada saat akhir di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taboh Naning melalui pengiringnya, dalam konteks ini Noorashimah bukan ejen responden,” katanya.

Tambah Abu Bakar, jumlah kehadiran tetamu dianggarkan antara 400 hingga 500 orang pada majlis jamuan yang diadakan di Markas Pas Pasir Gembur pada 3 Disember 2022 tidak dapat mempengaruhi jumlah majoriti undi diperoleh Mas Ermieyati.

Jelasnya, ini kerana responden mendapat majoriti besar iaitu 4,411 undi pada PRU15.

“Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan, mahkamah berpendapat pempetisyen gagal membuktikan melampaui keraguan yang munasabah responden atau ejennya melakukan sogokan wang atau penjamuan.

“Menurut peruntukan Seksyen 36 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya, mahkamah memutuskan responden telah dilapor pilih dengan sewajarnya sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah dalam PRU15,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan pempetisyen membayar kos sebanyak RM50,000 kepada pihak responden. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya