MUAR: Tempoh 14 hari berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diharap tidak menjadi medan merosakkan hubungan masyarakat.
Calon Pakatan Harapan (PH), Ir. Nazri Abdul Rahman berkata, perjalanan kempen perlu berjalan lancar dan aman sehingga hari mengundi pada 9 September nanti.
Beliau berkata, tumpuannya kini hanya untuk menyantuni pengundi, selain berusaha mengatasi permasalahan dihadapi di kerusi berkenaan.
“Apa yang diharapkan adalah perjalanan kempen lancar dan aman kerana dua lagi calon yang bertanding adalah merupakan kawan-kawan.
“Dalam apa juga keadaan, biarlah perjalanan kempen ini tanpa ada sebarang kekacauan yang boleh merosakkan hubungan sesama sendiri,” katanya kepada pemberita selepas sesi penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.
PRK DUN Simpang Jeram menyaksikan pertembungan tiga penjuru selepas seorang calon Bebas mengemukakan kertas penamaan.
Calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Mohd. Mazri Yahya tiba kira-kira pukul 8.35 pagi dan mengemukakan kertas penamaan pada pukul 9.04 pagi.
Ia kemudian disusuli Nazri yang tiba kira-kira pukul 9.00 pagi diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta ratusan penyokong PH dan Barisan Nasional (BN).
Nazri mengemukakan kertas penamaan pada pukul 9.08 pagi diikuti calon Bebas, S. Jeganathan pukul 9.18 pagi. – UTUSAN