MUAR: Pengundi di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diingatkan agar sentiasa menjaga adab bangsa Johor sepanjang tempoh pilihan raya kecil (PRK) di dua kerusi berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penyokong ketiga-tiga calon bertanding harus memelihara perjalanan kempen parti supaya berjalan lancar dan aman.
“Hanya orang Johor memahami cara di Johor, oleh yang demikian peliharalah adab itu sebaiknya demi untuk keharmonian rakyat di negeri ini. Jangan disebabkan kerana mahu berkempen selama dua minggu, kita terpengaruh dengan kawan-kawan dari negeri lain sehingga melupakan adab bangsa Johor.
“Orang Johor ada cara Johor dan bangsa Johor tahu apa yang saya maksudkan,” katanya ketika ditemui selepas sesi penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.
PRK DUN Simpang Jeram menyaksikan pertembungan tiga penjuru selepas seorang calon Bebas mengemukakan kertas penamaan.
Calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Mohd. Mazri Yahya tiba kira-kira pukul 8.35 pagi dan mengemukakan kertas penamaan pada pukul 9.04 pagi.
Ia kemudian disusuli calon Pakatan Harapan (PH), Ir. Nazri Abdul Rahman yang tiba kira-kira pukul 9.00 pagi diiringi Onn Hafiz serta ratusan penyokong PH dan Barisan Nasional (BN).
Nazri mengemukakan kertas penamaan pada pukul 9.08 pagi diikuti calon Bebas, S. Jeganathan pukul 9.18 pagi.
Tambah Onn Hafiz, Nazri dikenali sebagai seorang yang rajin serta banyak memberikan khidmat bakti kepada masyarakat di Muar khususnya Simpang Jeram selepas berkhidmat selama hampir 30 tahun dalam Majlis Perbandaran Muar (MPM).
“Calon yang menang harus memberikan khidmat kepada masyarakat, oleh itu saya lebih menekankan rekod perkhidmatan Nazri yang dilihat sangat baik sepanjang perkhidmatannya,” katanya. – UTUSAN