ALOR GAJAH: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengingatkan pihak yang mendakwa bahawa dua juta ahli UMNO telah keluar parti agar mencipta provokasi yang lebih munasabah.
Beliau berkata, jika benar dakwaan itu berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), maka lebih separuh cawangan UMNO di seluruh negara akan terbubar.
Katanya lagi, pihak yang sengaja mencetuskan provokasi berkenaan digesa untuk lebih berhati-hati dan menggunakan data sahih sebelum mengeluarkan kenyataan.
“Kita baru sahaja selesai Perhimpunan Agung UMNO dan sambutan kali ini dilihat jauh lebih baik selepas PRU. Pengalaman saya sebagai Setiausaha Kerja UMNO, kita mempunyai 3.3 juta ahli tetapi kalau dua juta sudah keluar saya ingat tiga perempat daripada seluruh cawangan telah dibubarkan.
“Kalau nak buat provokasi pun beragak-agaklah. Jadi saya mengingatkan kakanda saya, Tan Sri Annuar Musa kalau hendak buat provokasi pakailah kalkulator terbaik, kalkulator politik,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Bayaran Insentif Sara Hidup Kepada Nelayan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Annuar yang mendakwa, lebih dua juta rakyat yang selama ini menjadi penyokong UMNO sudah meninggalkan parti itu kerana UMNO didakwa bukan lagi menjadi pilihan.
Annuar yang lantang mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dipecat pada Disember tahun lalu selepas PRU15.
Sementara itu, mengenai pilihan raya di enam negeri, Ab. Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, kestabilan politik dan keharmonian kerajaan perpaduan di negeri ini harus dijadikan contoh kepada negeri lain.
Katanya, kestabilan dan kemakmuran yang dikecapi Melaka kini menarik perhatian para pelabur dan rakyat mendapat faedah dengan kewujudan peluang pekerjaan baharu.
“Kita lihat hari ini dalam kombinasi pentadbiran yang kita kongsikan bersama ada wakil daripada Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH) dan rakyat menerimanya dengan baik.
“Pengurusan kerajaan perpaduan Melaka adalah contoh terbaik dan saya harap dapat diterjemahkan untuk faedah rakyat seluruh negara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti,” ujarnya. – UTUSAN










