Rais umum lawan Mohamad Ali di Tangga Batu

Rais umum lawan Mohamad Ali di Tangga Batu

RAIS Yasin menyampaikan sumbangan persekolahan kepada Wartawan Sinar Harian, Farhana Yaacob pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kelab Pendika di RUTC, Klebang, Pulau Gadong, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin hari ini menawarkan diri mempertahankan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu pada pemilihan parti kali ini.

Rais yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Melaka berkata, beliau menawarkan diri kerana UMNO memerlukan pemimpin muda bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap parti itu.

“Jika diberi ruang dan peluang saya ingin mengekalkan jawatan Ahli MKT, yang mana ramai tahu saya adalah penyandang jawatan yang dilantik oleh Presiden sendiri.

“Jadi kali ini saya mencuba nasib, jika kerana ini adalah proses meremajakan serta memperkukuhkan parti dan mungkin kita boleh lihat proses rejuvenasi ini boleh diteruskan.

“Saya menawarkan diri untuk bertanding walaupun masih mempunyai umur Pemuda, tetapi saya fikir inilah masanya kalau para perwakilan memberi ruang dan peluang kepada pemuda seperti saya berada dalam barisan MKT,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Persekolahan Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) di Pulau Gadong di sini, hari ini.

Mengulas mengenai hasratnya bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu menentang penyandang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, Rais berkata, perkara itu bukan lagi menjadi kerahsiaan dalam kalangan ahli di peringkat bahagian.

Jelasnya, beliau menawarkan diri memandangkan kepemimpinan bahagian perlu diberi nafas baharu.

“Ini adalah masa yang sesuai untuk saya mengumumkan hasrat bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu,” katanya yang kini menjawat posisi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tangga Batu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN