Keputusan petisyen Parlimen Masjid Tanah tangguh 7 Februari

Keputusan petisyen Parlimen Masjid Tanah tangguh 7 Februari

MOHD. FAIZI Che Abu bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Mahkamah Tinggi, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 7 Februari depan sebagai tarikh baharu keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya yang difailkan Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan demikian bagi membolehkan mahkamah mendapatkan hujahan tambahan daripada peguam kedua-dua belah pihak.

Peguam Mohd. Faizi Che Abu yang mewakili penyandang kerusi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, terdapat dua isu yang memerlukan hujahan lanjutan iaitu berkaitan keperluan setem untuk pelantikan peguam bela dan kajian terhadap hansard Parlimen mengenai peruntukan Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Hakim pada pembacaan awal beliau mahu kita hantar lagi (hujahan). Ada dua isu, pertamanya sumber undang-undang yang menghendaki pelantikan notis peguam bela memerlukan setem Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Akta Setem 1949 dan sebagainya.

“Keduanya hakim meminta pihak pempetisyen menyediakan hujah lanjutan berkaitan debat atau hansard di Parlimen sekiranya ada berkaitan Seksyen 38. Hujah ini akan dihantar pada Jumaat (3 Februari) dan hakim akan meneliti dokumen tersebut sebelum membuat keputusan pada 7 Februari depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding tamat.

Pada 17 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid melalui Tetuan Rosfinah & Co. mengemukakan petisyen pada 3 Januari 2023 dalam usaha membatalkan kemenangan Mas Ermieyati dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Petisyen itu difailkan kerana mendakwa berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan untuk meraih undi.

Pada PRU15, Abdul Hakim yang memperoleh 21,193 undi tewas kepada Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Masjid Tanah itu dalam pertembungan empat penjuru dengan majoriti 4,411 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya