MELAKA: Tindakan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) keluar daripada Gerakan Tanah Air (GTA) adalah keputusan sebulat suara perwakilan dari semua negeri, berlandaskan kepada Fasal 12 Perlembagaan Pejuang.
Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh berkata, pengumuman dibuat Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu jelas telah melalui Perhimpunan Agung yang merupakan kuasa tertinggi dalam menentukan hala tuju dan dasar.
Beliau berkata, oleh yang demikian adalah salah untuk bekas Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya menuding jari bahawa ia merupakan keputusan Presiden.
“Pejuang senantiasa berlandaskan pada rule of law dan meraikan semangat demokrasi dalam organisasi.
“Seperti sedia maklum bahawa Pejuang telah mengadakan Perhimpunan Agung pada Sabtu lalu. Usul berundur dari GTA telah dibahaskan dan undian sebulat suara bersetuju meluluskan usul tersebut.
“Keputusan yang dibuat oleh Presiden adalah keputusan sebulat suara perwakilan dari semua negeri,” katanya yang juga Ketua Majlis Pimpinan Pejuang Melaka kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, keputusan Pejuang keluar daripada GTA disifatkan sebagai langkah terburu-buru tanpa melihat asas penubuhan gabungan itu dalam arena politik negara.
Marzuki berkata, keputusan itu juga tidak dibincangkan bersama pucuk pimpinan tertinggi parti, sebaliknya Mukhriz hanya mengambil kira pandangan para perwakilan dalam Perhimpunan Agung, Sabtu lalu.
Menurut Sheikh Ikhzan, kenyataan dibuat Marzuki itu jelas melambangkan kecetekan pengetahuan pemimpin berkenaan mengenai Perlembagaan Pejuang, walaupun sebelum ini beliau menjawat jawatan tinggi dalam parti.
“Saya nasihatkan supaya Marzuki tidak lagi memberi ulasan berkenaan Pejuang memandangkan beliau tidak lagi bersama dengan parti. Usah gunakan nama Pejuang untuk dilihat masih relevan,” katanya. – UTUSAN










