MELAKA: Perhimpunan Agung UMNO 2022 bermula semalam akan menjadi medan paling penting untuk mengukuhkan semula kekuatan parti selepas dikejutkan dengan kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, perhimpunan kali ini tidak wajar dijadikan medan menyalahkan sesiapa atas prestasi buruk parti, sebaliknya kepemimpinan perlu menilai pandangan akar umbi bagi mengukuhkan semula jentera.

Menurutnya, apa yang pasti dalam kalangan ahli, mereka ingin mengetahui punca sebenar kekalahan UMNO di mana hanya memenangi 27 kerusi Parlimen, jauh daripada prestasi sebenar dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.
“Saya tidak menafikan itu menjadi perkara utama yang akan menjadi perbahasan dalam kalangan 5,523 perwakilan UMNO dari seluruh negara adalah berkaitan kekalahan teruk dalam PRU15.
“Ahli parti khususnya di peringkat akar umbi mahu tahu, apa sebenarnya punca kekalahan teruk UMNO dan Barisan Nasional (BN). Di Melaka kita tewas enam kerusi Parlimen buat pertama kali dalam sejarah, dengan dua kerusi tradisi Masjid Tanah dan Jasin gagal dipertahankan.
“Justeru perhimpunan kali ini amat penting buat seluruh ahli parti untuk diberi keyakinan bahawa parti akan terus diperkukuhkan dan institusi Presiden mesti dipertahankan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2022 amat penting untuk semua ahli bersatu padu dalam usaha memperkukuhkan semula kekuatan.

“Apa yang paling adalah untuk mendengar mandat Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Selepas PRU15 kita hanya dengar pandangan daripada pelbagai pihak, namun perhimpunan kali ini semua ahli akan dapat mengetahui arah parti akan dibawa, khususnya dalam menghadapi pemilihan tidak lama lagi,” katanya. – UTUSAN










