PH kekal pembangkang DUN Melaka - Sulaiman

PH kekal pembangkang DUN Melaka – Sulaiman

SULAIMAN Md. Ali (tengah) menunjukkan logo UniMel pada majlis perasmian logo dan lagu baharu universiti milik penuh kerajaan negeri itu di Kuala Sungai Baru, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Status quo kerajaan negeri dan peranan Pakatan Harapan (PH) selaku blok pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kekal dalam sidang yang akan bermula 12 Disember ini, meskipun telah wujud kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, Melaka terlebih dahulu meraikan pembangkang sebagai rakan strategik kerajaan negeri, walaupun Barisan Nasional (BN) dan PH belum mencipta persefahaman seperti yang berlaku pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Jelasnya, kesemua tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang terdiri daripada lima wakil rakyat PH dan dua Perikatan Nasional (PN) turut diberikan bantuan serta peruntukan bagi memudahkan mereka menyelesaikan masalah setempat.

“Negeri (Melaka) masih kekalkan status quo apabila Persekutuan menjadi kerajaan perpaduan. Saya pernah sebut dahulu sebelum tertubuhnya kerajaan perpaduan bahawa saya menganggap pembangkang sebagai rakan strategik.

“Saya tetap beri bantuan dan peruntukan kepada mereka. Akhirnya benda (kerjasama) itu jadi kenyataan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Logo dan Lagu Rasmi Universiti Melaka (UniMel) di sini, semalam.

Dalam pada itu, mengulas berkenaan pembentangan Bajet Melaka 2023, Sulaiman berkata, fokus kerajaan negeri adalah meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Ujarnya, tumpuan lain adalah meningkatkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat negeri ini.

“Kita akan meningkatkan ekonomi negeri terutamanya bagaimana kita boleh memberikan peluang perniagaan serta pekerjaan kepada rakyat. Keduanya mengenai kesejahteraan rakyat dan juga kebajikan rakyat.

“Bajet akan dibentang pada hari pertama Sidang DUN Melaka pada 12 Disember ini. Kita ada empat hari (persidangan) dan kita minta semua ADUN untuk bahaskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya