'Saya akan jadi wakil rakyat nampak muka, dekat dengan rakyat' - Sharim - Utusan Malaysia

‘Saya akan jadi wakil rakyat nampak muka, dekat dengan rakyat’ – Sharim

MOHD. SHARIM Md. Zin (dua dari kiri) ketika program ziarah kasih dan bertanya khabar penduduk di Felda Chini 1 di Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd. Sharim Md. Zain akan menjadi wakil rakyat yang sentiasa nampak muka dan dekat dengan rakyat jika terus diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Menurutnya, beliau tidak akan menjadi wakil rakyat yang turun padang untuk meninjau permasalahan rakyat dan hanya menunjukkan muka apabila tiba musim pilihan raya sahaja.

“Saya akan dekat dengan rakyat dan berada dalam kawasan (Chini) kerana saya memang tinggal di sini.

“Apabila berada dalam kawasan, mudah untuk rakyat cari saya. Saya pun mudah bertemu rakyat pada setiap masa,” katanya ketika ditemui di Felda Chini di sini semalam.

Pada PRU15 ini, Sharim berdepan cabaran tiga penjuru untuk mengekalkan kerusi DUN Chini ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Fahrur Rozi Jalaluddin dan Mohamad Yazid Che Mat yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Sharim berkata, setiap wakil rakyat yang dipilih ‘nafasnya’ bergantung kepada pengundi.

“Jadi, saya tidak akan jadi wakil rakyat yang hanya tunjuk muka 14 hari semasa tempoh kempen pilihan raya, tetapi hilang dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selaku bekas wakil rakyat di situ selama dua tahun tiga bulan selepas menang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini pada 4 Julai 2020, pelbagai cabaran ditempuhi terutama penularan pandemik Covid-19.

“Tempoh dua tahun saya bergelar wakil rakyat sebelum ini cukup mencabar bagi saya, dengan penularan Covid-19 dan selepas itu banjir besar dua kali pada awal tahun dan hujung tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata, jika terus diberikan mandat oleh rakyat pada PRU15 ini, beliau akan mengangkat keperluan utama melibatkan tiga kelompok masyarakat di DUN Chini iaitu Felda, kampung tradisi dan Orang Asli.

“Misi dan visi saya, kalau melibatkan kawasan Felda, keperluan hari ini antaranya penempatan kepada generasi kedua dan ketiga yang berada di DUN Chini.

“Untuk tujuh kampung tradisi, saya fokus untuk meningkatkan infrastruktur kampung, masjid, jalan raya dan menyediakan peluang ekonomi melalui pertanian,” katanya.

Bagi sembilan kampung Orang Asli pula, beliau berkata, empat perkara asas akan diberikan keutamaan iaitu bekalan air, elektrik, infrastruktur jalan dan membaik pulih rumah daif.

Membawa slogan ‘Chini sentiasa di hati’, beliau berharap pengundi di DUN itu kembali memberikan mandat kepadanya untuk terus berkhidmat kepada rakyat di situ.

“Kepada pengundi DUN Chini, pilihlah parti yang benar-benar terbukti dan ikhlas membela nasib rakyat. Tiada janji, lihat bukti. Pilih BN untuk kestabilan dan kemakmuran di DUN Chini serta Parlimen Pekan, negeri Pahang dan Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya