fbpx

PRU15: Kontraktor Melayu di bawah PKMM ikrar sokong BN

ABD. GAPAR Lambak (kiri) bersama calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin di Temerloh, Pahang.

KUANTAN: Kontraktor Melayu di bawah Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) akan terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Naib Presiden PKMM, Abd. Gapar Lambak berkata, sokongan itu bersandarkan kepada komitmen BN yang tidak meminggirkan kumpulan kontraktor bumiputera, malah menyediakan pelbagai kaedah bantuan bagi memastikan nasib mereka terbela terutama untuk bersaingan dengan kontraktor bukan bumiputera.

“Sebagai contoh, kerajaan dalam Bajet 2023 menyediakan pelbagai inisiatif untuk golongan kontraktor seperti peruntukan RM500 juta khusus kepada kontraktor kelas G1 hingga G4, antaranya bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan bagi jalan Persekutuan, titi dan jambatan kecil, rumah ibadat serta infrastruktur yang rosak akibat banjir.

“Kerajaan juga menerusi Bajet 2023 menyediakan pembiayaan jangka pendek kepada kontraktor Bumiputera yang terlibat dalam bidang seperti elektrikal dan pembinaan melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPIKE) dengan dana RM20 juta.

“Kerajaan juga akan melaksanakan inisiatif kontraktor nita bagi menyokong penyertaan lebih ramai kontraktor wanita bumiputera dalam perolehan kerajaan. Sebanyak RM50 juta nilai projek-projek kecil akan dikhususkan kepada kontraktor wanita kelas G1 hingga G4,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abd. Gapar berkata, sebelum ini, seperti dilaporkan oleh media, hampir 50,000 daripada 126,000 kontraktor berlesen di seluruh negara terpaksa gulung tikar selepas gagal memperbaharui lesen sejak 2018 ekoran tidak mempunyai baki akaun modal yang mencukupi mengikut kelas masing-masing.

Katanya, pandemik Covid-19 yang melanda negara turut menyebabkan projek semakin berkurangan sehingga menjejaskan kebanyakan kontraktor daripada kelas G1 hingga G4.

“Alhamdulillah, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 14 Julai lalu bersetuju menambah 11 lagi bahan-bahan binaan di bawah kaedah Pengiraan Perubahan Harga (VOP) daripada empat sebelum ini.

“Insya-Allah pada PRU15 ini, kontraktor Melayu dan bumiputera di bawah PKMM akan terus menyokong BN selari dengan pendirian PKMM sebagai persatuan mesra BN.

“Kepada ahli-ahli PKMM, buatlah keputusan terbaik pada PRU15 ini, lihat bukti parti mana yang benar-benar ikhlas membela nasib golongan kontraktor Melayu,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN