Perjanjian lantik TPM wujud - Muhyiddin  - Utusan Malaysia

Perjanjian lantik TPM wujud – Muhyiddin 

MUHYIDDIN Yassin mengagihkan daging korban kepada penduduk pada program Kenduri Rakyat AidilAdha PN Perak di Manjoi, Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan perjanjian berhubung pelantikan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam Perikatan Nasional (PN) sememangnya wujud, malah, mempunyai saksi daripada Bersatu dan Pas semasa draf perjanjian itu dimeterai.

Mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa tidak wujud perjanjian pelantikan TPM dalam PN, Muhyiddin berkata, perjanjian itu dimeterai beliau sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (BN) disaksikan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin manakala Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggubal draf perjanjian.

Menurutnya, perjanjian itu diketahui oleh semua kepemimpinan tertinggi PN.

“Sebenarnya, ada perjanjian untuk melantik TPM, malah, kehadiran kita dalam kerajaan sekarang pun atas dasar PN, bukan atas nama parti sahaja. Ia ada komponen parti, antara contoh selain daripada jawatan TPM ialah bilangan jawatan dalam Kabinet, sebab itu kalau dilihat sewaktu saya (jadi Perdana Menteri) keadaan (kedudukan Kabinet) tak banyak berubah.

“Itu antara perjanjian supaya Pas ada kuota iaitu tiga (menteri), kita (Bersatu) ada 10 manakala UMNO ada bilangannya, itu sebahagian daripada perjanjian.

“Sebab itu apabila ada kes Datuk Zuraida Kamaruddin (Ahli Parlimen Ampang) keluar daripada Bersatu, sewajarnya kuota itu diisi Ahli Parlimen Bersatu,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Kenduri Rakyat AidilAdha PN Perak di Manjoi di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Muhyiddin berkata, Bersatu tidak menuntut lebih daripada perkara yang telah dipersetujui dalam draf perjanjian sebelum ini.

Katanya, perkara yang dikemukakan kepada Perdana Menteri ialah perkara-perkara-perkara yang  termaktub dalam perjanjian itu yang ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

“Perdana Menteri menandatangani draf perjanjian itu disaksikan Annuar Musa dan saya sebagai Pengerusi PN, juga disaksikan oleh Hamzah Zainuddin dan ramai lagi yang hadir, perjanjian itu disimpan oleh pimpinan parti.

“Jadi, mungkin Tok Guru (Abdul Hadi Awang) boleh ‘check’ balik dengan Takiyuddin, memang ada draf perjanjian kita itu,  itu kenyataan sebenar,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Hadi menegaskan tidak wujud perjanjian berhubung pelantikan Timbalan Perdana Menteri dalam PN.

Sebaliknya, beliau berkata, perkara berkaitan dengan pelantikan Timbalan Perdana Menteri itu dibincangkan antara PN dan Perdana Menteri namun tiada keputusan dicapai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya