Akar umbi harap RoS lulus pindaan tangguh pemilihan - Utusan Malaysia

Akar umbi harap RoS lulus pindaan tangguh pemilihan

NOR HALMEY HAMDAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Akar umbi UMNO berharap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dapat meluluskan pindaan perlembagaan parti itu sebagaimana yang diputuskan oleh semua perwakilan semasa perhimpunan agung parti itu pada 15 Mei lalu.

Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan UMNO negeri, Nor Halmey Hamdah berkata, RoS perlu segera membuat ketetapan sama ada pindaan tersebut diluluskan atau sebaliknya bagi memudahkan parti itu membuat perancangan seterusnya jika keputusan tidak memihak.

Katanya, sekiranya RoS tidak luluskan, maka, UMNO perlu membuat rayuan kepada badan tersebut untuk tangguhkan pemilihan parti.

“Saya melihat kemungkinan pindaan tersebut diluluskan kerana Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah menjalankan tugas dengan baik dan mempunyai merit dalam rayuan yang boleh dikemukakan sekiranya RoS menolak pindaan berkenaan.

“Suara-suara di bawah (akar umbi) sememangnya berharap RoS segera membuat keputusan seterusnya meluluskan pindaan menangguhkan pemilihan sehingga selepas pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

RoS sebelum ini memaklumkan, keputusan mengenai pindaan perlembagaan parti itu bagi menangguhkan pemilihan dan tarikh akhir keputusan itu adalah pada 16 Julai.

Perhimpunan Agung Khas UMNO pada Mei lalu sebulat suara meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO yang antara lain membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Sementara itu, Nor Halmey berkata, sekiranya pemilihan parti terpaksa diadakan dalam tempoh terdekat, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilihat masih berkelebihan mengekalkan jawatan Presiden seterusnya mengetuai UMNO dalam menghadapi PRU15.

“Sekiranya tidak diluluskan (pindaan), maka, ia (pemilihan) perlu dijalankan dan diyakini Ahmad Zahid akan kekal sebagai Presiden memandangkan akar umbi masih menaruh kepercayaan terhadapnya,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya