Lebih bahaya kepada PKR jika saya keluar parti - Rafizi

Lebih bahaya kepada PKR jika saya keluar parti – Rafizi

Kawalan keselamatan
RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan gesaan supaya beliau meninggalkan PKR bukanlah penyelesaian, sebaliknya akan menimbulkan risiko lebih besar kepada parti.

Beliau berkata, keluar parti bukan bermakna berdiam diri, sebaliknya beliau akan lebih bebas bersuara dan tegas menegur pimpinan serta dasar parti.

“Gesaan kalau saya keluar parti, saya diam? Mana ada. Kalau saya keluar parti, lagilah kuat bersuara, lagilah bebas, lagilah berbahaya kepada PKR,” katanya mengulas wujudnya gesaan supaya beliau meninggalkan parti kerana dakwaan beliau kini menjadi liabiliti kepada PKR.

Beliau ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Parlimen Pandan, hari ini.

Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, gesaan tersebut mencerminkan kelemahan pimpinan bawahan yang memberi tekanan kepada Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebagai contoh bagaimana Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) menangani krisis dalaman sehingga Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat. Kalau Tan Sri Muhyiddin Yassin rasa Datuk Seri Hamzah tidak lagi sehaluan, pecat terus.

“Jadi apabila Datuk Seri Anwar tidak bersuara, pimpinan kanan tidak berani, kemudian pihak bawahan menekan kononnya kamu keluarlah daripada parti. Itu menyebabkan Presiden PKR nampak lemah dan tidak berani,” katanya.

Rafizi berkata, PKR bermasalah apabila cuba mengelak isu sebenar dan meletakkan diri dalam kedudukan serba salah.

“Kalau mereka pecat saya pun satu masalah, kalau kekalkan saya pun satu masalah. Kalau saya sendiri keluar parti, tetap menjadi masalah bagi mereka. Sebenarnya masalah itu bukan saya.

“Kelantangan bukan soal kritikan kepada parti, tetapi isu dibangkitkan berkaitan kepentingan rakyat dan negara, antaranya isu korporat mafia dan integriti agensi penguatkuasaan,” katanya.

Katanya, kritikan yang dibuat sejak lebih 15 tahun lalu adalah konsisten, tanpa mengira parti yang memerintah.
PKR katanya, tidak boleh melupakan asas perjuangan dan budaya menegur isu rakyat adalah intipati parti.

“Yang berbahaya jika PKR berada dalam kerajaan, apabila isu dibawa tetapi tidak dijawab, ia timbul sebagai masalah dalaman parti,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa mendakwa kenyataan dan kritikan terbuka Rafizi berpotensi menjejaskan keharmonian dalaman dan kekuatan parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN