KUALA LUMPUR: Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) dimasyhurkan sebagai universiti penuh dengan nama baharu Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP) sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-16, hari ini.
Seiring pemasyhuran tersebut, UniMAIWP dijangka terus memperluas akses pendidikan berkualiti, memperkukuh penyelidikan dan inovasi, serta melahirkan graduan yang mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ummah dan negara.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, pemasyhuran tersebut menandakan satu detik bersejarah dalam perkembangan institusi pendidikan tinggi milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
“Perjalanan yang panjang akhirnya membawa kepada pemasyhuran rasmi universiti ini pada Disember 2025 dan hari ini kita dapat menyaksikan graduan pertama universiti ini.
“Universiti ini juga merancang untuk menawarkan lebih banyak program pascasiswazah, menarik lebih ramai pelajar antarabangsa serta memperbanyakkan institusi termasuk dalam bidang penyelidikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP) Kali Ke-16 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), di sini hari ini.
Turut hadir, Canselor UniMAIWP, Tan Sri Azman Hashim.
Dalam majlis sama, seramai 1,269 graduan merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu Doktor Falsafah, Sarjana, Ijazah Sarjana Muda, Diploma, Asasi serta persijilan profesional diraikan.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, UniMAIWP akan terus bergerak ke hadapan selaras dengan peranannya yang amat signifikan dalam konteks pembangunan ummah.
Katanya, sejak awal penubuhannya, institusi berkenaan membuka ruang pendidikan kepada golongan yang memerlukan, khususnya dalam kalangan asnaf dan berpendapatan rendah.
“Setakat ini, lebih 1,000 pelajar antarabangsa memohon melanjutkan pengajian di universiti ini.
“Universiti ini juga akan terus menobatkan kualiti sebagai universiti Islam, dengan kekuatan lebih 70 tahun dalam bidang sains kesihatan,” katanya. – UTUSAN










