Ketidakstabilan politik punca Johor dianaktirikan -MB  - Utusan Malaysia

Ketidakstabilan politik punca Johor dianaktirikan -MB 

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI:  Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendakwa faktor ketidakstabilan politik sejak 2018 menyebabkan Johor seolah-olah dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, perkara itu dapat dilihat apabila hanya 79 projek baharu yang dibawa masuk dengan peruntukan kurang RM100 juta.

“Peruntukan yang diterima oleh negeri Johor bagi ‘rolling plan’ kedua tahun ini adalah berjumlah RM4.6 billion melibatkan 434 projek. Walaupun peruntukan meningkat, namun, kebanyakannya adalah bagi projek-projek sambungan. 

“Bagi projek baharu, hanya melibatkan 79 projek sahaja iaitu dengan peruntukan hanya RM85.5 juta atau hanya dua peratus daripada jumlah peruntukan bagi 2022,” katanya dalam sesi penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Pada 16 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meluahkan kekecewaan baginda terhadap tindakan kerajaan Persekutuan yang seolah-olah menganaktirikan negeri itu ketika bertitah merasmikan pembukaan sidang DUN Johor.

Sultan Ibrahim bertitah, tindakan itu amatlah dikesali  sedangkan Johor adalah antara penyumbang utama ekonomi negara, iaitu hampir RM13 bilion setiap tahun.

Sementara itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, negeri dan negara menjadi tidak stabil selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan kerajaan Pusat ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH).

Katanya, jawapan untuk menyelesaikan isu-isu berkenaan federalisme itu bukanlah menerusi cadangan menubuhkan Jawatankuasa Kerjasama semua negeri, tetapi dengan kestabilan jika ada kerajaan yang stabil. 

“Oleh itu, saya merayu kepada seluruh Bangsa Johor untuk tidak mengambil risiko lagi. Pada PRU yang akan datang, kembalikanlah kestabilan negara dengan memilih kerajaan yang boleh membawa kestabilan. 

“Janganlah kita membenarkan diri untuk jatuh dalam perangkap dan lubang gelap yang sama, lantas dipatuk pula oleh ular yang sama, buat kali kedua,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya