BESUT: Hati Nurhasliza Yusof kembali luluh ketika melihat bas yang terlibat dalam tragedi meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) termasuk anaknya, semasa berkunjung ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, Perak, baru-baru ini.
Saat melihat kenderaan itu, Nurhasliza, 44, terus terbayang wajah anaknya, Fatin Nasrien Fadli dan detik terakhir sebelum Allahyarham bertolak pulang ke UPSI Tanjung Malim, Perak bersama rakan-rakannya selepas cuti Hari Raya Aidiladha, setahun lalu.
Dalam tragedi pada 9 Jun tahun lalu, 15 pelajar UPSI maut selepas bas yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli melibatkan sebuah Perodua Alza.
Bas tersebut ditunda ke IPD Gerik untuk tujuan siasatan dan pemeriksaan forensik oleh polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Nurhasliza berkata, pada Mei lalu dia dan keluarganya singgah di balai polis berkenaan bagi menyelesaikan beberapa urusan selepas menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Gerik.
Katanya, pada awalnya dia enggan melihat lokasi bas tersebut ditempatkan namun anak bongsunya mahu melihat kenderaan itu yang menjadi kenderaan terakhir dinaiki kakaknya sebelum maut dalam nahas berkenaan.
“Hati saya luluh melihat bas itu. Semua kenangan pahit ketika menerima berita pemergian arwah kembali bermain di fikiran. Saya terus menangis apabila nampak bas tersebut.
“Terbayang wajah arwah dan detik terakhir sebelum dia bertolak pulang bersama rakan-rakannya. Walaupun sudah hampir setahun berlalu, rasa sedih itu masih kuat dan sukar dilupakan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Kerandang, di sini.
Menurut Nurhasliza, kehilangan anak tersayang memberi kesan mendalam kepada seluruh keluargnya dan sehingga kini mereka masih berusaha menerima hakikat pemergian tersebut.
Katanya, ketika kunjungan ke Gerik itu juga, dia bertembung dengan pemandu bas berkenaan ketika perbicaraan berlangsung di Mahkamah Majistret Gerik.
Katanya, perasaannya bercampur baur antara sedih dan marah apabila mengenangkan tragedi itu.
“Saya tidak mampu menahan sebak melihatnya dia di mahkamah. Semua kenangan tentang arwah anak kembali bermain di fikiran. Sebagai ibu, kehilangan itu amat berat untuk diterima walaupun sudah hampir setahun berlalu,” katanya.
Nurhasliza berharap proses perbicaraan dapat berjalan lancar dan memberi keadilan kepada semua mangsa serta keluarga terlibat.
Menurutnya, dia hanya mahu kebenaran ditegakkan dan berharap kejadian seperti itu tidak berulang. – UTUSAN










