Pemimpin BN akur dikompaun - Utusan Malaysia

Pemimpin BN akur dikompaun

HISHAMMUDDIN Hussein dan Hasni Mohammad disambut penyokong MIC dalam program Majlis Pelancaran Briged MIC Johor di Stadium Tertutup EduCity, Iskandar Puteri, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akur sekiranya beliau dan rakan-rakan gabungan berkenaan dikenakan kompaun kerana telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengawal pandemik Covid-19.

Hishammuddin yang juga Menteri Kanan Pertahanan memberitahu, perkara berkenaan sukar dikawal lebih-lebih lagi dalam program berbentuk politik menjelang pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurutnya, beliau reda sekiranya penglibatannya dalam program anjuran MIC itu akan berdepan tindakan kompaun oleh Kementerian Kesihatan.

“Saya reda kalau ia (kompaun) melibatkan diri saya sendiri pun, sebab sebelum kita datang kita sudah tahu apa akan berlaku kerana dalam program politik masalah utama adalah susah hendak kita kawal.

“Bagi diri saya kalau ada kesalahan dan nak ambil tindakan saya mengalu-alukan, salah tetap salah,” katanya kepada pemberita selepas tamat program Majlis Pelancaran Briged MIC Johor di Stadium Tertutup EduCity, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran; Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan, Pengerusi MIC Johor, R. Vidyananthan dan barisan kepimpinan MIC lain.

Program yang berlangsung bermula pukul kira 5.15 petang dihadiri seramai 3,000 penyokong BN.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan di laman Twitter miliknya memberitahu kesemua pimpinan tertinggi yang hadir ke dalam program berkenaan akan dikenakan kompaun kerana melanggar SOP.

“Saya telah mengarahkan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengeluarkan kompaun kepada Datuk Seri Hishamuddin, Datuk Seri Hasni, Tan Sri Vigneswaran, pemimpin utama yang hadir dan penganjur di bawah Akta 342.KKM akan terus pantau SOP sempena PRN Johor,” tulisnya.

Sementara itu, Vigneswaran turut memberitahu pihaknya akur dengan tindakan kompaun berkenaan dan memaklumkan akan lebih berhati-hati dalam penganjuran program parti pada masa depan menjelang PRN Johor pada 12 Mac ini.

“Semasa perancangan program ini dibuat, memang kita ikut SOP ditetapkan tetapi kita juga tidak dapat menjangka akan berlaku pelanggaran, jika tahu kita pun tidak akan adakan.

“Mungkin kerana ia mendapat sambutan hebat daripada kalangan pemuda, jadi kita tidak dapat menganggar jumlah kehadiran. Namun pada masa depan kita akan lebih berhati-hati dan menganjurkan program parti dalam skala lebih kecil,” ujarnya.

Dalam pada itu, usaha untuk mendapatkan komen Vidyananthan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor tidak berjaya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN