Trump, Netanyahu bincang pelan pindahkan penduduk Gaza ke negara jiran

Trump, Netanyahu bincang pelan pindahkan penduduk Gaza ke negara jiran

DONALD Trump (kiri) menerima kunjungan Benjamin Netanyahu dalam satu majlis makan malam di Blue Room, Rumah Putih.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan rakan sekutunya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa sedang bekerjasama dengan beberapa negara lain untuk memindahkan penduduk Gaza ke negara jiran.

Perkara itu diumumkan ketika Trump menerima kunjungan Netanyahu di Rumah Putih dalam pertemuan yang turut menyentuh tentang rundingan gencatan senjata Gaza, hubungan serantau serta isu Iran.

“Kalau mereka mahu kekal, mereka boleh kekal. Tetapi kalau mereka mahu keluar, mereka seharusnya diberi peluang.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengan AS untuk mengenal pasti negara-negara yang benar-benar mahu merealisasikan apa yang selalu mereka nyatakan iaitu mahu memberikan masa depan yang lebih baik kepada rakyat Palestin. 

“Saya rasa kita semakin hampir menemui beberapa negara,” kata Netanyahu.

Trump, yang sebelum ini enggan mengulas secara langsung mengenai cadangan pemindahan rakyat Palestin, turut menyatakan negara-negara sekitar Israel memainkan peranan penting dalam usaha ini.

“Kami mendapat kerjasama yang sangat baik daripada negara-negara jiran, kerjasama yang sangat baik daripada setiap satu daripada mereka. Jadi, sesuatu yang baik akan berlaku,” kata Trump.

Pertemuan tersebut berlangsung serentak dengan rundingan antara Israel dan Hamas di Qatar mengenai cadangan gencatan senjata serta pembebasan tebusan yang dirangka AS.

Sementara itu, Trump turut mengesahkan pentadbirannya akan mengadakan pertemuan dengan Iran dalam masa terdekat.

“Kami sudah menjadualkan pertemuan dengan Iran. Mereka mahu berbincang. Mereka sudah menerima tamparan hebat,” katanya sambil menambah beliau berhasrat untuk menarik balik sekatan ke atas Iran pada masa yang sesuai.

Dalam pertemuan tersebut, Netanyahu juga menyerahkan sepucuk surat untuk mencalonkan Trump sebagai penerima Hadiah Keamanan Nobel berhubung peranannya dalam gencatan senjata antara Israel dan Iran bulan lalu.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN