WASHINGTON: Parti baharu yang dilancarkan oleh jutawan terkenal, Elon Musk, mungkin tidak akan memenangi sebarang kerusi di Kongres, namun masih berpotensi menggugat kedudukan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan parti Republikan.
Pelancaran ‘Parti Amerika’ oleh Musk hujung minggu lalu berlaku selepas Trump menandatangani rang undang-undang dasar domestik, yang dikritik hebat jutawan teknologi itu kerana dijangka melonjakkan defisit negara.
Musk masih belum memperincikan dasar partinya, tetapi dijangka menyasarkan beberapa kerusi di Dewan Perwakilan dan Senat dalam pilihan raya pertengahan penggal tahun depan.
Walaupun sejarah menunjukkan parti ketiga jarang mencatat kemenangan besar dalam sistem politik AS, penganalisis berpandangan kekayaan luar biasa dan pengaruh peribadi Musk boleh mencetuskan impak ketara dalam pilihan raya pertengahan penggal akan datang.
Penganalisis politik yang juga bekas calon Kongres Republikan, Matt Shoemaker berkata, Parti Amerika adalah faktor luar jangka yang boleh mengganggu keputusan pilihan raya pertengahan 2026, khususnya untuk Republikan.
“Dengan majoriti tipis di Kongres, Republikan sepatutnya bimbang.
“Jenama Musk menarik minat golongan kecewa dan atas pagar serta pengundi muda celik teknologi, yang jika tidak mungkin akan memihak kepada Republikan di kawasan swing,” katanya.
Parti-parti kecil pernah meraih lebih banyak kejayaan di Dewan Perwakilan pada awal abad ke-20, tetapi sejak 1950-an hanya satu kerusi berjaya dimenangi.
Penganalisis bersetuju usaha memenangi kerusi di Kongres mungkin sukar dicapai, namun Musk masih boleh menyukarkan Trump dengan menarik undi penyandang Republikan atau menyuntik dana kepada pencabar dalam pemilihan awal terhadap calon pilihan Presiden itu.
Dengan kekayaan peribadi dianggarkan berjumlah AS$405 bilion (RM1.7 trilion), Musk membuktikan kesediaannya untuk berbelanja besar dalam politik, termasuk menyalurkan AS$277 juta (RM1.17 bilion) kepada kempen Trump pada 2024.
“Parti Musk tidak akan menang sebarang kerusi, tetapi ia boleh menyebabkan kerugian kepada Republikan.
“Di kawasan sengit, walaupun beberapa peratus undi disedut keluar daripada pihak kanan, ia sudah cukup untuk mengubah penguasaan,” kata Pengasas firma perhubungan awam krisis global Red Banyan, Evan Nierman.- AFP










