Ahmad Faizal nafi dakwaan Mukhriz - Utusan Malaysia

Ahmad Faizal nafi dakwaan Mukhriz

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan dakwaan terdapat ahli parti itu yang menipu tarikh keahlian masing-masing kerana mahu bertanding dalam pemilihan parti.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, dakwaan yang dibuat oleh Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu sekadar dakwaan politik.

Menurutnya, jika benar perkara itu berlaku, Mukhriz yang menjadi Timbalan Presiden Bersatu ketika itu sudah tentu akan mengambil tindakan.

“Saya fikir jika benar berlaku, tentunya beliau (Mukhriz) akan ambil tindakan kerana beliau adalah Timbalan Presiden sebelum pemilihan parti diadakan.

“Jadi, kalau tak ada tindakan, maka, tak adalah berlaku. Saya fikir beliau sebagai Timbalan Presiden kami pada ketika itu, tentunya akan mengambil tindakan tegas jika perkara sebegitu berlaku

“Dakwaan beliau mungkin sekadar dakwaan politik,” katanya kepada pemberita selepas  Kejohanan Futsal Peja Trophy Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang di sini hari ini.

Ahmad Faizal ditanya mengenai dakwaan Mukhriz yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia hari ini  yang berkata, ada ahli Bersatu menipu tarikh keahlian masing-masing kerana mahu bertanding dalam pemilihan parti tersebut sehingga menimbulkan masalah termasuk melantik pemimpin yang tidak ada pengalaman.

Tindakan itu, dakwa Mukhriz berlaku sejurus Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan menyebabkan lembaga disiplin parti tersebut ‘sangat sibuk’ kerana terpaksa menumpukan lebih masa untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Beliau menjelaskan, penipuan tarikh pendaftaran keahlian dalam kalangan ahli Bersatu itu dilakukan susulan perlembagaan parti yang menetapkan mana-mana individu yang mahu bertanding sebarang pemilihan dalaman parti, haruslah mempunyai rekod keahlian lebih satu tahun.

Kesannya, terdapat ahli baharu parti yang datang daripada UMNO telah menganjak tarikh mula-mula menjadi ahli dan seterusnya bertanding dalam pemilihan, sehingga mengakibatkan ramai calon yang naif dan tidak arif soal percaturan dalaman akhirnya tersungkur. –UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya