Kadar dividen ASB dijangka kekal kukuh, setara agihan tahun lalu

Kadar dividen ASB dijangka kekal kukuh, setara agihan tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan 2025 dijangka kekal kukuh hampir sama dengan tahun sebelumnya, dianggarkan sekitar 5.5 hingga 5.9 sen, setanding dengan rekod tertinggi dalam lima tahun, 5.75 sen seunit yang diagihkan tahun lalu. 

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan prestasi pasaran semasa dan persekitaran ekonomi global yang masih mencabar. 

“Sekiranya berlaku peningkatan, ia dijangka bersifat marginal, dengan kadar sekitar 5.85 seunit dilihat sebagai senario yang munasabah.

“Salah satu faktor utama yang berpotensi menyokong prestasi pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) ialah pengukuhan nilai ringgit. Mata wang yang lebih kukuh dijangka dapat meningkatkan pulangan bersih daripada pelaburan luar negara, selain mengurangkan kos berkaitan pertukaran mata wang dan import,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Jelas beliau, keadaan ini berupaya memberi sedikit ruang penambahbaikan kepada pendapatan pelaburan PNB, namun kesannya dijangka sederhana berikutan ketidaktentuan pasaran global dan pergerakan kadar faedah antarabangsa.

“Secara keseluruhan, saya menjangkakan pengumuman dividen ASB tahun ini akan mencerminkan pendekatan berhati-hati, selari dengan strategi pengurusan dana yang menekankan kestabilan dan pulangan mampan kepada para pelabur,” katanya.

Tahun lalu, PNB melalui syarikat pengurusan unit amanahnya Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan ASB sebanyak 5.75 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Jumlah ini terdiri daripada agihan pendapatan 5.5 sen dan bonus 0.25 sen, menjadikan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM10.1 bilion, dengan pengagihan ini akan memberi manfaat kepada lebih 11.1 juta pemegang unit.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, dividen ASB dijangka menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya. 

Katanya, beliau menjangkakan dividen ASB akan diumumkan pada kadar 5.5 sen manakala bonus dijangka sekitar 1.0 sen menjadikan jumlah agihan tahunan sekitar 6.5 sen. 

“Prestasi pelaburan saham ASB didorong oleh peningkatan Bursa Malaysia manakala, pelaburan antarabangsa pula membantu menyokong dan menstabilkan pulangan daripada pelaburan berpendapatan tetap serta saham yang berkait dengan indeks antarabangsa seperti NYSE.

“Peningkatan ini dijangka memberi manfaat kepada ribuan pemegang unit ASB, sambil mengekalkan portfolio yang seimbang antara pertumbuhan dan kestabilan,” katanya. 

Dengan keadaan pasaran yang menggalakkan, PNB dijangka akan terus menonjolkan prestasi pelaburan yang mampu memberi manfaat kepada ribuan pemegang unit ASB di seluruh negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN