Ahli UMNO keluar parti tidak jejaskan jentera BN di Mersing - Utusan Malaysia

Ahli UMNO keluar parti tidak jejaskan jentera BN di Mersing

PRN JOhor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Tindakan 30 ahli UMNO di cawangan Triang dan Kampung Baharu Air Tawar di Mersing yang bertindak keluar parti  dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menjejaskan ‘mood’ jentera parti untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bendahari Barisan Nasional  (BN) Mersing, Muhammad Syukri Ibrahim berkata, rata-rata rakyat sudah matang melihat budaya lompat yang wujud dalam Bersatu Mersing kerana kedua-dua wakil rakyat rakyat yang mewakili parti itu di Mersing adalah mereka yang memegang jawatan penting dalam UMNO sebelum ini.

Muhammad Syukri berkata, hal berkenaan juga jelas bukan satu kayu ukur sebenar situasi yang terjadi dalam Parlimen Mersing kerana Bersatu di kawasan berkenaan hanya indah khabar dari rupa dan perjuangan mereka disifatkan tidak lebih dari ‘hangat-hangat tahi ayam’..

“Semalam tular satu kenyataan di media sosial berkenaan 30 orang ahli UMNO menyerahkan borang kepada Menteri dari Bersatu yang kononnya keluar parti kerana isu-isu dalam BN yang tidak selesai.

“Mereka terdiri daripada 15 dari cawangan Teriang dan 15 dari Kampung Baharu Air Tawar. Saya melihat isu ini langsung tidak menjejaskan mood jentera parti dan rata-rata rakyat dah matang melihat budaya lompat yang wujud dalam Bersatu.

“Sudah pasti rakyat boleh hidu dan amat faham jika Bersatu Mersing selama ini mendapat kekuatan dengan mencuri ahli dan pemimpin dari UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Syukri, sebagai kubu BN, masyarakat Mersing yakin dengan sesiapa sahaja yang dicalonkan oleh pucuk pimpinan bagi mewakili BN dalam PRN Johor pada 12 Mac nanti. 

Katanya, rata-rata rakyat telah pun bulatkan tekad untuk memilih BN yang sejarah dan pemerintahannya adalah lebih stabil dari sudut politik serta ekonomi.

“Mimpi ngeri 22 bulan di Johor sudah memberi kesedaran kepada rakyat betapa perit, siksa dan tertekan kerana ekonomi rakyat semakin susah, pentadbiran yang kurang cekap dan pembangunan negeri yang amat pelahan.

“Dalam PRN Johor 2022 kali ini, masyarakat di Mersing juga tidak mahu kawasan N.32 (Endau) mahupun N.33 (Tenggaroh) jadi milik pembangkang jika kerajaan Johor dipimpin oleh BN. 

“Hal ini pasti merugikan masyarakat Mersing sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih mewakili parti pembangkang kerana Mersing sememangnya dahagakan pembangunan yang lebih mampan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN