Transformasi SPR turut meliputi dana pembiayaan politik - Utusan Malaysia

Transformasi SPR turut meliputi dana pembiayaan politik

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penambahbaikan sistem pilihan raya yang bakal meliputi isu dana pembiayaan politik sudah pun diperhalusi dalam usaha transformasi imej Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, usaha itu dijangka mampu menjadikan proses demokrasi yang lebih bersih.

“Saya sudah pun lihat draf ini dan diberikan taklimat oleh para pegawai saya, namun, ia masih lagi embargo kerana perlu dibawa kepada mesyuarat Kabinet untuk dikaji,” jelasnya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2022 peringkat jabatan itu di sini hari ini.

Kelmarin, Transparency International – Malaysia menyarankan kerajaan segera mewujudkan akta pembiayaan politik bagi mengekang isu gejala rasuah terutama pembelian wakil rakyat.

 Situasi tersebut wajar diperbaiki dengan pantas susulan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang merosot lebih teruk berbanding tahun lalu disebabkan amalan korupsi parti politik.

 Gejala tidak sihat itu mengakibatkan kedudukan kerajaan tidak stabil dan didakwa berlaku lompat parti tertentu bagi menumbangkan atau pun mengekalkan status rentan pihak kerajaan.

 Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, CPI yang dijadikan rujukan itu tidak boleh dijadikan ukuran tepat situasi rasuah kerana ada banyak faktor boleh mempengaruhi suasana korupsi.

Bayangkan sebuah negara itu amat banyak rasuah, tapi rakyatnya senyap, maka CPI pun okey, tetapi, kalau kurang kes, namun, rakyat kecoh, CPI negara itu akan jadi lebih teruk,” jelasnya.

Justeru, kerajaan ada cara tersendiri bagi mengekang situasi itu dan antaranya transformasi SPR dalam masa terdekat dengan kajian mengenainya sudah pun siap untuk dibentangkan.

Beliau dalam nada optimis berkata, apabila proses penambahbaikan itu dilaksanakan kelak, CPI bagi Malaysia dijangka kembali kepada kedudukan yang lebih baik daripada sekarang.

 Pada masa sama, beliau berharap rakyat tidak bimbang dengan laporan CPI itu malah diseru terus melaporkan kes kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 Bahkan, beliau berkata, jika banyak tangkapan dan pendakwaan dilakukan, ia membuktikan kerajaan telus mengekang jenayah rasuah tanpa mengira siapa individu disabitkan kes itu.

 Wan Junaidi memberi contoh Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Transformasi dan Kestabilan Politik bagi memperhalusi undang-undang antilompat parti yang dipengerusikannya Isnin lalu.

 “Ini antara reformasi Parlimen yang saya tengah buat dan diharap ia dapat dibentangkan pada sesi persidangan Mac depan untuk memastikan negara kita akan bebas rasuah,” tegas beliau. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya