Siasatan SPRM ada niat dendam - Anwar  - Utusan Malaysia

Siasatan SPRM ada niat dendam – Anwar 

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa siasatan terhadap bekas pegawai Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh, R. Naveen Kularasa dan seorang pemandu van, Nico Kam mempunyai motif dendam apabila kes lain melibatkan pemimpin besar tidak dipedulikan. 

Menurut Presiden PKR itu, beliau hairan apabila pemimpin lain yang mempamerkan kekayaan melampau, tetapi, tidak pula disiasat atau diambil tindakan.

“Saya ingin menggesa SPRM untuk memberi fokus kepada kes-kes besar yang masih belum ada penyelesaian setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Naveen Kularasa, 50, yang merupakan anak saudara kepada Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa dan Nico didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan rasuah berhubung kemasukan pekerja asing, lima tahun lalu.

Bagaimanapun, kedua-duanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama secara rasuah meminta wang tunai RM55,000 bagi diri mereka daripada Mono Miah Siddikur Rahman yang merupakan lelaki warga Bangladesh.

Ia sebagai dorongan kononnya untuk tidak melaporkan kepada pihak Imigresen berkaitan Syarikat Dyna Maintainance Services Sdn. Bhd. milik individu itu yang dikatakan telah membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.

Pertuduhan kedua dan ketiga, Naveen dan Nico didakwa dengan niat bersama-sama iaitu secara rasuah bersetuju menerima wang tunai RM45,000 dan RM20,000 bagi diri mereka daripada pemilik syarikat sama melalui tertuduh kedua (Nico) berhubung perkara sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua buah restoran di Cheras dan sekitar Kuala Lumpur antara 17 hingga 21 September 2017.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya