PH tetap tampil calon muda dalam PRN Johor - Utusan Malaysia

PH tetap tampil calon muda dalam PRN Johor

ANWAR Ibrahim sewaktu berucap ketika menghadiri Program #TemuAnwar Sembang Santai Bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim Bersama Anak-anak Muda Port Dickson di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Calon muda tetap akan ditampilkan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak seperti mana langkah yang diambil dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, namun begitu calon-calon yang akan ditampilkan nanti termasuk bersama parti pembangkang lain tentulah akan merangkumi calon-calon berpengalaman termasuk calon wanita.

“Memang ada cadangan (lebih ramai calon muda) tetapi mesti merangkumi semua, wanita dan pemimpin lama yang teruji.

“Ia tidak boleh semua muda atau semua tua atau semua wanita, ia mesti merangkumi semua tapi wakil muda akan ada seperti mana dalam tiap-tiap pilihan raya kita selama ini,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian kepada pemberita selepas Program #TemuAnwar Sembang Santai Bersama Dato’ Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang turut merupakan Presiden PKR menjelaskan, soal pembahagian kerusi termasuk jumlah kerusi untuk PKR masih belum diputuskan namun isu penggunaan logo akan dimuktamadkan esok.

“Seperti mana saya dan rakan-rakan sebut semalam, baik satu logo yang akan mewakili PH tetapi pengalaman kami dan sentimen akar umbi atas faktor biasa dan terkenal terutama di desa harus menonjolkan logo Keadilan,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar berpandangan, sekiranya prosedur operasi standard (SOP) berkempen semasa PRN Melaka diteruskan pada PRN Johor, ia tentunya akan memberikan kesukaran kepada PH.

“Kami dalam strategi, dalam parti yang tidak banyak wang, tidak ada kekuatan media kerajaan, tiada jentera kerajaan, kekuatan kami hanyalah menemui rakyat,

“Tetapi ini dihalang sebagaimana berlaku di Melaka, kami akan hadapi masalah kerana tidak ada kebebasan mutlak pilihan raya. 

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) institusi dalam kerajaan seperti biasa, lebih memilih untuk membisu dan tidak pertahankan prinsip kebebasan bersuara,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN