28,258 ketua isi rumah mangsa banjir terima BWI - PM - Utusan Malaysia

28,258 ketua isi rumah mangsa banjir terima BWI – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 28,258 daripada 46,162 ketua isi rumah (KIR) sudah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) hanya dalam tempoh 10 hari mangsa terkesan banjir berbanding tiga hingga enam bulan sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, agihan yang dibuat secara lebih cepat dan efektif itu dilaksanakan melalui penubuhan Command Centre dengan pemantauan dibuat secara real time bermula 27 Disember lalu. 

Menurut beliau, seramai 38 waris mangsa daripada 51 kematian akibat bencana itu yang direkodkan Polis Diraja  Malaysia (PDRM) sehingga semalam turut menerima BWI Pengurusan Kematian. 

“Sebanyak lima negeri iaitu Kelantan, Wilayah Persekutuan, Melaka, Terengganu dan Perak telah mencapai 100 peratus pembayaran BWI kepada KIR yang terkesan. Sementara Pahang mencapai (65.5 peratus), Negeri Sembilan (82.7 peratus) dan Selangor (47.6 peratus). 

“Penyelarasan yang dibuat dengan kerjasama Agensi Pengurusan  Bencana Negara (Nadma), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pejabat-pejabat daerah ini dijangka selesai diagihkan pada Rabu ini (tidak termasuk bayaran BWI kepada mangsa banjir gelombang kedua),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca  Banjir Bencana Monsun Timur Laut 2021/2022 dan menerima taklimat status  tindakan daripada enam kluster yang ditubuhkan bagi mengurus inisiatif Pasca Banjir Bencana Monsun Timur Laut 2021/2022. 

Ismail Sabri berkata, setakat kelmarin, sejumlah RM33 juta daripada RM93 juta permohonan Pinjaman Mikro BSN untuk isi rumah diluluskan sejak dilancarkan pada 27 Disember lalu. 

Katanya, bagi sumbangan GLC Disaster Recovery Network (GDRN), 60 peratus daripada sumbangan berjumlah RM58  juta berjaya dilaksanakan. 

Bagi Baucer Pembelian Barangan Elektrik bermula 7 Januari ini, kata beliau, diskaun dan Baucer Pembaikan Kenderaan juga akan terpakai bagi pembaikan dari 19 Disember tahun lalu. 

“Permohonan bagi Pinjaman Bantuan Bencana untuk Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) Bank Negara Malaysia (BNM) mula dibuka untuk permohonan pada 27 Disember lalu. Permohonan moratorium sehingga enam bulan bagi pinjaman sedia ada boleh dibuat bermula 19 Disember tahun lalu.

“Bagi Pinjaman TEKUN untuk PMKS, pelaksanaan bermula pada 1 Januari lalu melibatkan dana sebanyak RM30 juta,” katanya. 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, bagi inisiatif Pembersihan dan Pembaikan Infrastruktur Awam, dana berjumlah RM25 juta diperuntukkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.  

Katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut melaporkan, sehingga semalam, kerja-kerja pembersihan bagi lima negeri selesai 91 peratus dengan 100 peratus bagi Kuala Lumpur dan Melaka manakala Selangor (82 peratus), Negeri Sembilan (95 peratus), dan Pahang (77 peratus) dengan anggaran sebanyak 53,800 tan sisa banjir diurus menggunakan  2,730 jentera.

Beliau menjelaskan, dana sejumlah RM50 juta diperuntukkan kepada 32 pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur, kemudahan awam, sosio ekonomi dan keselamatan. 

“Kerja-kerja baik pulih dan pembinaan rumah baharu melibatkan 32 PBT  menerima peruntukan sebanyak RM50 juta,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya