JOHOR BAHRU: Tindakan Pas yang berterusan mendesak UMNO untuk menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Muafakat Nasional (MN) hanya akan memendekkan usia gagasan tersebut.
Ketua Bahagian UMNO Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya akan membawa usul supaya parti itu memutuskan hubungan dengan Pas seterusnya membubarkan MN pada Mesyuarat UMNO Bahagian Pulai, 18 Disember ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor berkata, usul itu akan dibuat setelah bosan didesak Pas yang lagaknya seperti parti lebih dominan berbanding UMNO sedangkan tewas semua kerusi ditandingi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.
“Pas ini saya cukup hairan kerana seolah-olah dia parti dominan di negara kita, walhal UMNO adalah parti yang dominan. Pas mahu bersama UMNO kerana mahu kita memayungi mereka sedangkan mereka tidak mahu ikut keputusan kita.
“Sebagai contoh, berhubung kerjasama dengan Bersatu. Pas seharusnya ikut keputusan UMNO. Oleh itu, UMNO Bahagian Pulai akan mengusulkan untuk kita putuskan hubungan dengan Pas dan bubarkan MN.
“Ini mengambil kira MN bukan sebagai sebuah gagasan politik yang diperlukan UMNO, Pas juga tidak jujur selain terbukti tiada kekuatan apabila kesemua calonnya tewas ketika PRN Melaka baru-baru ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Pada 25 November lalu, Pas dilaporkan menolak gagasan MN sekiranya gagasan itu melibatkan pembabitan UMNO dan parti itu sahaja.
Dalam pada itu, Nur Jazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling berkata, agenda perpaduan bangsa dan bersama sebagai Islam yang seringkali dicanang Pas juga harus dihentikan.
Jelasnya, ini kerana agenda itu hanyalah sebagai platform buat parti berkenaan untuk mendapatkan sokongan umum.
“Jika Pas tidak mahu terima keputusan UMNO, kita putuskan sahaja hubungan. Sebelum ini pun kita tahu yang MN ini bukan gagasan politik yang rasmi, ia hanya rekaan untuk menyatukan dua parti.
“Pas juga hanya seperti bayang-bayang yang minta perlindungan UMNO memayungi parti itu. Pas tidak layak untuk menentukan hala tuju UMNO dan jika parti itu mahu bergerak bersama Bersatu, MN seharusnya dibubarkan sahaja,” katanya. -UTUSAN ONLINE