UMNO Tenggara usul pertahan Ismail Sabri - Utusan Malaysia

UMNO Tenggara usul pertahan Ismail Sabri

DR. Adham Baba (dua kiri) dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (dua kanan) selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara di Kolej YPJ di Kota Tinggi, Johor. -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: UMNO Bahagian Tenggara membawa usul mempertahankan kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk terus memimpin negara sehingga tempoh penggal ini berakhir.

Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, usul berkenaan bagi memastikan negara dapat dipulihkan dari pandemik Covid-19 yang melanda dan seterusnya dapat keluar daripada wabak tersebut.

“Tentu sekali perkara pokok yang akan kita bawa usul adalah mempertahankan kerajaan yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri untuk terus memimpin negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini bagi memastikan bahawa kita benar-benar dapat keluar dari wabak Covid-19 serta memulihkan ekonomi, memulihkan apa yang kita lalui sepanjang Covid-19 ini dan kembali kepada kehidupan seperti dahulu yang telah kita alami. 

“Untuk itu, kita di Tenggara juga mengusulkan agar kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya tidak hanya tertumpu pada tarikh-tarikh tertentu, kita bersiap sedia dari sekarang,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) di sini hari ini.

Dr. Adham turut meminta para perwakilan dan ahli-ahli di cawangan serta masyarakat untuk terus memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri ketika ini sehinggalah tamat penggal dan menuju ke Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada tahun 2023 nanti.

Tambahnya, pendirian UMNO Tenggara mahu supaya memberi ruang dan peluang untuk Perdana Menteri dari UMNO itu memimpin negara dan membuktikan bahawa tanggungjawab yang diberi dengan penyatuan daripada rakan-rakan komponen dan juga parti-parti yang bersama ketika ini dapat dilaksanakan.

Jelas beliau, begitu juga kepimpinan kerajaan negeri Johor di bawah Datuk Hasni Mohammad yang disokong sepenuhnya UMNO bahagian itu untuk terus memimpin negeri dengan baik dan jayanya.

“Di Tenggara kita bertuah kerana ahli UMNO dalam Tenggara ketika ini telah mewakilkan dalam kerajaan dua orang menteri iaitu Menteri Sains dan Teknologi dan Menteri Perpaduan Negara.

“Ini adalah satu yang perlu kita berikan tumpuan di mana amanah yang diberikan dalam melaksanakan tugas dengan baik demi menyokong kepimpinan Perdana Menteri pada hari ini,” katanya. -UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN