MACHANG: Mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Machang sebulat suara mengusulkan supaya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipilih sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua UMNO Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, cadangan itu dibuat selepas mengambil kira prestasi cemerlang Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri ketika ini.
Selain itu kata beliau, UMNO Machang memutuskan untuk berpegang kepada keputusan Persidangan Agung UMNO 2020 supaya tidak ada sebarang kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRU-15.
“Kita turut menggesa hubungan dua parti besar Melayu, UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) dapat dipertautkan kembali.
“Kita perlu sedar kewujudan MN adalah lebih awal berbanding kewujudan Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika merasmikan mesyuarat tersebut di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Machang itu juga berkata, UMNO Machang berpendapat PRU-15 wajar dilaksanakan terlebih dahulu sebelum pemilihan parti.
“Ini penting bagi mewujudkan kerajaan yang stabil, menjamin kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.
“Sehubungan itu, UMNO Machang mencadangkan supaya Perhimpunan Agung Khas diadakan bagi membincangkan perkara tersebut,” katanya. -UTUSAN ONLINE











