BAGAN DATUK: UMNO mahu pemimpin parti itu yang menerajui kerajaan ketika ini menterjemahkan suara akar umbi.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka perlu terus membawa aspirasi UMNO dan harapan rakyat yang rindukan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menjadi kerajaan semula.
“Kita harap wakil kita yang mengetuai kerajaan terus menterjemahkan suara akar umbi dan UMNO, terus membawa aspirasi UMNO dan harapan rakyat kerana rakyat rindukan pemimpin UMNO dan BN untuk menjadi kerajaan semula,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, apabila UMNO menerajui kerajaan, ia merupakan langkah permulaan untuk UMNO menjadi dominan.
Katanya, ini kerana apabila rakyat mempunyai perdana menteri seorang pemimpin dari UMNO, persepsi rakyat terhadap kerajaan mula berubah.
“Secara perbandingan terhadap kerajaan 22 bulan (Pakatan Harapan) dan kerajaan 18 bulan kemudiannya (kerajaan Perikatan Nasional), kini kerajaan yang ada sekarang memberi harapan baru,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kejayaan UMNO menukar dua perdana menteri (Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin) membuktikan kepimpinan utama UMNO bukan lemah atau tidak mempunyai hala tuju.
Katanya, sebaliknya kejayaan itu membuktikan pemimpin UMNO berjaya melakukan strategi politik.
“Kepemimpinan utama (UMNO) yang tidak mempunyai hala tuju dan lemah inilah yang berjaya menukarkan dua Perdana Menteri, jatuh dan digantikan pemimpin dari UMNO.
“Biarlah nista disimbah kepada pemimpin UMNO tetapi fakta dan realitinya memperlihatkan dua Perdana Menteri telah tidak berkuasa lagi.
“Jika peristiwa-peristiwa ini tak cukup, lihat pula bagaimana kerajaan negeri Johor, Perak dan Melaka diambil alih oleh UMNO.
“Juga kerajaan negeri Sabah yang kita lihat menjadi pembangkang sebelum PRN tapi kini kembali memimpin walaupun sekadar jadi orang nombor dua di negeri berkenaan.
“Begitu juga kemenangan tujuh pilihan raya kecil ketika kita (UMNO) menjadi pembangkang, itukah yang dikatakan pemimpin utamanya masih lemah?,” katanya. – UTUSAN ONLINE









